Oleh Zurina Waji

PETALING JAYA: Pusaka, filem seram terbaharu lakonan Syafiq Kyle yang akan memulai tayanganya pada 31 Oktober ini, menggabungkan unsur mistik dan kepercayaan dalam masyarakat Melayu iaitu saka dengan menggunakan pendekatan filem-filem seram Asia.

Diarahkan oleh Razaisyam Rashid, filem terbitan Astro Shaw dengan kerjasama Director Think Tank yang menelan belanja RM2 juta itu turut menampilkan bakat-bakat muda seperti Mimi Lana, Hafidz Roshdi, Sweet Qismina, di samping pelakon berpengalaman, Faizal Hussein, Ogy Ahmad Daud dan Aleza Shadan.

“Ya, filem ini ada pendekatan sepertimana yang ditampilkan filem-filem seram Asia, antaranya dalam filem-filem seram Thailand dan Jepun, seperti Ju-On.

“Malah ia turut diinspirasi daripada filem seram Conjuring yang mempunyai ramai peminatnya,” katanya, ketika ditemui selepas majlis Malam Gala Pusaka di The Starling Mall di sini, baru ini.

Naratif cerita Pusaka adalah berasaskan idea asal Natasha Chopra, manakala lakon layar serta skrip merupakan garapan Anwari Ashraf dan Alfie Palermo, dan Mohd Noor Mohd Kassim sebagai Pengarah Fotografi.

Filem seram dengan gabungan penyiasatan dan aksi ini yang menjalani penggambaran selama 30 hari, antaranya di  Batu Gajah, Taiping dan Gopeng di Perak turut menampilkan karya komposer, Datuk Wah Idris, Kejam nyanyian Siti Nordiana sebagai lagu tema filem.

Pusaka mengisahkan bagaimana penemuan mayat oleh Inspektor Nuar Ishak lakonan Syafiq di sebuah rumah tinggal berdekatan sebuah kuari telah mendedahkan mengenai pasangan kembar, Balqis dan Qistina (Sweet) yang dikurung di situ.

Semenjak itu, setiap langkah Nuar dihantui pelbagai kelibat, gangguan dan kematian. Walaupun merasakan dirinya semakin hilang pertimbangan, di samping mempunyai masalah dengan adik kembarnya, Nur (Mimi), dia harus menyelesaikan kes ini sebelum berlaku lebih banyak kematian misteri.

Saka, kepercayaan dalam masyarakat Melayu dulu, menurut Razaisham bukanlah suatu yang tabu untuk diterokai.

Kali pertama mengarah filem seram, beliau melihat saka yang menjadi dasar kepada garapan naskah ini mengandungi unsur budaya Melayu yang boleh diketengahkan untuk menarik penggemar filem genre ini di samping mainan kamera yang menjadi antara kekuatan Pusaka.

Naib Presiden, Ketua Astro Shaw dan Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad, menerusi siaran akhbarnya, berkata kecenderungan peminat filem tempatan dengan filem bergenre seram mendorong pihaknya menghasilkan sebuah filem seumpamanya yang mempunyai kelainan berbanding filem tebitan mereka, sebelum ini.

“Kami melihat jalan cerita Pusaka mempunyai potensi untuk diangkat menjadi sebuah naskah yang baik. Meskipun berdepan cabaran masa yang agak singkat dalam menghasilkan filem ini, namun kami yakin dengan penglibatan tenaga-tenaga kreatif ia mampu mencetus tanda arasnya yang tersendiri,” katanya.

Mengenai pemilihan barisan pelakon muda sebagai tunjang utama filem, katanya ini kerana Astro Shaw “sentiasa membuka ruang dan memberi kepercayaan kepada bakat-bakat baru mahu pun muda untuk diketengahkan.”

Penerbit Eksekutif Director Think Tank, Priya Narayanan juga yakin Pusaka akan mendapat sambutan baik.

“Melalui filem Pusaka, penonton boleh melihat sebuah naskah baru dan segar gabungan genre seram, penyiasatan dan aksi. Ini adalah kombinasi yang segar dan belum pernah diketengahkan di dalam industri perfileman tempatan,” katanya.