Oleh Zurina Waji | Foto Fauzi Hamid

PETALING JAYA: Malaysian Society of Awareness (MASA) yang menekankan usaha meningkatkan kesedaran terhadap potensi kanabis dibangunkan bagi tujuan perubatan sedang menganjurkan undian dalam satu kaji selidiknya sebagai antara usaha mendesak kerajaan memberi kata putus herhubung perkara berkenaan.

Setiausahanya, T Harish Kumar, berkata menerusi Kaji Selidik Kanabis (Ganja) Malaysia 2019: Undi Nasional yang dikemukakan secara dalam talian itu, hasil pungutan suara yang diperolehi akan dijadikan sebagai rujukan statistik kepada kerajaan.

Kaji selidik itu, katanya boleh dicapai menerusi pautan https://s.surveyplanet.com/pNdjLfZy

“Kerajaan Malaysia mengambil masa terlalu lama untuk memberi jawapan muktamad walaupun dunia sudah berubah,” katanya, mengenai keadaan yang mendorong badan bukan kerajaan (NGO) itu melaksanakan langkah berkenaan yang bersandarkan metode digunakan di negara-negara seperti Amerika Syarikat dan Australia yang terbukti berhasil.

“MASA memutuskan untuk memulakan kaji selidik ini bagi mengumpul pandangan dan undian daripada rakyat mengenai perkara ini. Keputusan itu kelak akan digunakan sebagai statistik supaya kerajaan tahu apa yang rakyat mahu, seterusnya mengambil tindakan lebih serius serta pantas.”

Langkah terbaru ini, menurut Harish adalah antara insiatif MASA bagi meneruskan perjuangan pengasasnya, Allahyarham Intan Mustika Putri Mokhtar yang pernah menggunakan kanabis bagi merawat dirinya yang didiagnos dengan buah pinggang dan jantung yang lemah, kencing manis dan hypokalemia.

T Harish Kumar

Penyakit yang dikesan 11 tahun lalu itu menyebabkan ibu beranak dua itu mengalami kejang otot dan sering dalam kesakitan, malah hanya terbaring disebabkan ubat-ubatan hospital yang membuatnya tidak mampu bergerak.

“MASA kini bersedia sebagai sebuah NGO untuk mengendalikan kajian mengenai kanabis. Pada masa sama, kami mempunyai beratus-ratus pesakit dengan pelbagai penyakit yang merayu untuk mendapatkan rawatan menggunakan kedah ini.

“Tiada yang lebih kami hargai kecuali kesediaan kerajaan untuk melihat isu ini, sekiranya boleh mewujudkan peluang-peluang untuk diadakan kajian, di samping menubuhkan struktur yang selamat serta tersusun bagi pemantauan.

“Keputusan ini kelak adalah sebahagian daripada perancangan yang disasarkan MASA dalam usaha bagi memastikan perubahan yang sepatutnya mengambil tempat,” katanya.

MASA ditubuhkan pada 2018, antaranya bagi memberi pendedahan, di samping mendidik masyarakat mengenai penggunaan kanabis sebagai asas dalam kaedah perubatan yang ditolak Kementerian Kesihatan (KKM) dan para doktor di Malaysia.

Dalam satu temubual bersama Allahyarham Intan Mustika yang disiarkan Malaysia Good News, dia mendedahkan bagaimana penggunaan kanabis itu, walaupun secara haram, bukan sahaja membolehkannya berjalan, malah menjalani kehidupan normal selama lapan tahun ini.

Dia bagaimanapun, menghembuskan nafas terakhir pada 4 Julai lalu selepas semua organnya gagal berfungsi.

Pernah ditangkap dan dipenjara bersama suami kerana memiliki tumbuhan kanabis kering yang diguna bagi perawatannya, beliau pernah berharap kanabis dapat dikeluarkan daripada senarai Jadual 1 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang melarang seseorang mengimport, menanam, memiliki, memindah atau menggunakannya, sekaligus membolehkan kajian yang dapat menunjukkan ia selamat digunakan dalam lapangan perubatan.

Harish berkata, sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan bagi memantapkan pergerakan MASA berikutan ketiadaan Allahyarham Intan Mustika, antaranya dengan perlantikan Profesor Dr K Vicknasingam daripada Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai Presiden, manakala Timbalan Presiden, Yatie Joned.

“Selepas beliau meninggal dunia, kami mengambil alih apa yang telah diusahakannya walaupun harus saya akui, bukan mudah untuk membuat semua orang di Malaysia bersatu, bekerjasama sepertimana yang telah dilakukan Allahyarham dengan begitu sempurna,” tambahnya.