Oleh Zurina Waji | Gambar Fauzi Hamid

SHAH ALAM: Kombinasi terbaik dengan pemilihan lagu popular dan mesra telinga daripada katalog Exists seawal 1991 menghasilkan sebuah persembahan segar dan bertenaga, penuh nostalgia pada Konsert Exists Reunion, di Stadium Malawati di sini, kelmarin.

“Exists memberi pengertian sebenar kepada sebuah penyatuan semula, di mana 28 tahun pembabitan mereka di dalam industri seni diraikan dengan persembahan penuh nostalgia… “

Hujan lebat sejam sebelum konsert dijadualkan bermula nyata membawa rahmat, seolah-olah memberi petanda kepada lebih 4,000 peminat dan penggemar muzik band kelahiran Johor ini bahawa ada kejutan menanti.

Sepertimana yang dijanjikan, Konsert Exists Reunion bukan hanya sebuah persembahan biasa-biasa.

Exists memberi pengertian sebenar kepada sebuah penyatuan semula, di mana 28 tahun pembabitan mereka di dalam industri seni diraikan dengan persembahan cukup nostalgia yang menampilkan bekas vokalisnya, Mamat atau nama sebenarnya, Mohd Ali Kamarudin bersama Ezad Lazim (Mohd Rohaizad Mohd Lazim).

“… 24 lagu diperdengarkan bersama susunan muzik dan permainan yang cukup kompak dan dipadukan melalui sistem bunyi, antara yang terbaik pernah diberikan pada sebuah persembahan band tempatan.”

Bukan hanya Mamat dan Ezad, konsert berkenaan juga membawa kembali dua lagi bekas anggotanya, Ajai atau Mohd Faizal Maas yang bermain keyboard dan gitaris, Shah (Shah Nizam Abd Halim) untuk bergabung dengan gitaris, Along (Mohd Azhrul Nasir), pemain bass, Musa (Musa Radhi) dan pemain dram, Ujang (Saharudin Saniman).

Biarpun hanya berlatar sebuah pentas ringkas, 24 lagu diperdengarkan bersama susunan muzik dan permainan yang cukup kompak dan dipadukan melalui sistem bunyi, antara yang terbaik pernah diberikan pada sebuah persembahan band tempatan. Temubual, sebahagiannya dengan anggota Exists dipapar di layar gergasi pentas, mengisi beberapa ruang rehat antara persembahan.

Dianjurkan Shiraz Projects, konsert sebegini bukan hanya menyerlahkan keupayaan sebenar anak-anak seni tempatan, malah membibitkan harapan buat masa depan industri . Kini, apa yang diperlukan adalah kepercayaan dan peluang.

Pendedahan Shirazdeen Karim selaku Pengarah Urusan Shiraz Projects, mengenai penjualan tiket konsert yang naik mendadak, 100 peratus, menyusuli kontroversi penangkapan Mamat di Taman Perling Jaya, Johor Bahru pada 8 September lalu, kerana penyalahgunaan dadah bagaimanapun tidak menafikan aura yang sememangnya masih dimiliki penyanyi berusia 41 tahun.

Baru berumur 13 tahun semasa diperkenalkan bersama Exist pada 1991, Mamat membangkitkan nostalgia kala membuka persembahan dengan lagu Anugerah, diikuti Sebelum Terlewat, Nota di Lautan Sepi dan Janji Padamu, sebelum Ezad mengambil alih pentas dengan Roller Coaster, merancakkan lagi malam dengan Percayakan Siti, antaranya sebelum roman menguasai suasana dengan hits, Masih Terserlah Ayumu.

Paduan suara Mamat dan Ezad yang bertenaga menerusi Tak Berakhir, single ciptaan Ajai dan Along, manakala iirik oleh Musa yang mengisahkan hubungan peribadi antara anggota Exists, dihasilkan bersempena penyatuan mereka ini yang dilatari video di layar pentas, buat seketika memberi rasa sebak kepada audiens.

Along, sebelum ini, memaklumkan perjalanan konsert yang menyaksikan penelitian dalam susunan lagu, di mana lagu bersesuaian dengan dua vokalis itu dipilih, dan penting “popular dan mesra di telinga peminat.” Satu stadium bergema dengan seleksi hits, memuncakkan nostalgia lagi kala Mamat muncul semula dengan Untukmu Ibu.

Digantikan Ezad kemudiannya, audiens terus didendangkan dengan lagu-lagu sing along, daripada serancak Mama Tolong Percaya, Jangan Gentar dan Hani Lempengnya Hangus sebelum Exists kembali membaluti malam konsert berkenaan dengan mood roman Julia dan Mengintai Dari Tirai Kamar.

Mamat dan Ezad kembali untuk mengalunkan Langkah Seiringan, diikuti Jesnita, Rahsia Pohon Cemara sebelum menutup konsert dengan Alasanmu, sekaligus mencoretkan Exists Reunion sebagai sebuah persembahan seperti yang digambarkan Ajai, “suatu yang segar, bertenaga dan baru, serta belum pernah dilihat peminat” sehinggalah malam tadi.