Oleh Malaysia Good News

SEREMBAN: Orang Melayu disaran mengamalkan semula pemakaian songkok yang akan memberi perlambangan meluas, sebagaimana zaman kegemilangan bangsa itu termasuk semasa berjuang mendapatkan kemerdekaan.

Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Dr Rais Yatim, berkata amalan bersongkok boleh dihidupkan semula dan dijadikan sebagai identiti budaya Melayu yang masyarakatnya meliputi Nusantara.

Beliau juga berpandangan, pemakaian songkok sememangnya sudah sinonim dengan keMelayuan dan  bukanlah suatu yang janggal, termasuk dalam kalangan generasi kini yang dilihat mulai mahu mengenakan dastar, tanjak dan tengkolok.

“Kita berasa bangga orang Melayu sanggup untuk berdastar, bertanjak dan bertengkolok semula. Orang Melayu dalam zaman kegemilangannya memakai songkok dan mereka berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan negara dengan memakai songkok.

“Saya kira ini akan memberi lambang yang sangat meluas. Di samping kita mempunyai kegemaran untuk berdastar dan juga bertanjak, bersongkok itu bagi saya sudah sinonim dengan keMelayuan kita,” katanya, memetik kenyataannya kepada media di sini, semalam.

Dr Rais yang menghadiri majlis penutup program Tradisi Bertanjak Bersatu Negeri Sembilan anjuran Angkatan Anak Muda (Armada) Bersatu Negeri, menyifatkan amalan bersongkok boleh memberi kesepakatan, selain tanda hormat.

Ia menurutnya, memberi gambaran identiti budaya yang kuat kepada ummah Melayu, berbeza dengan pemakaian ketayap yang dikaitkan dengan keagamaan.

“Orang yang pakai songkok adalah umat Melayu di Malaysia dan Nusantara. Jadi, ini akan memberi satu gambaran identiti budaya yang kuat kepada ummah kita dan kepada penduduk yang hampir 400 juta orang,” katanya.

Jelasnya, songkok menjadi amalan, biasanya semasa hendak menghadap Sultan, justeru menjadikannya mudah untuk dipraktikkan dengan difesyenkan pemakaiannya sebagaimana orang Inggeris dahulu mengenakan topi.

Terdahulu, Dr Rais semasa berucap di majlis itu, memohon Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan melancarkan piagam warisan dan budaya tanah air di Muzium Islam, Kuala Lumpur, supaya memberi lindungan kepada warisan asas di tanah air iaitu asas orang Melayu berbudaya.

Dalam meraikan Hari Malaysia, baru ini, beliau menasihati orang Melayu agar tidak melupakan budaya dan warisan.

“Apa yang kita harapkan, orang Melayu tidak hilang budaya mereka dan supaya orang Melayu pandai mengolah pembudayaan hidupnya.

“Budaya bukan hanya indah dan cantik memakai pakaian Melayu, tetapi budaya bererti cara hidup dan kita ingin wujudkan cara hidup yang tinggi,” katanya lagi.