Oleh Zurina Waji | Foto Ihsan Tisha Shamsir Alam

DIA memang tidak lokek dengan senyuman, diiringi tutur kata yang lembut menambah lagi pesonanya sebagai perempuan Melayu. Dan ya, dia tinggi orangnya menyebabkan banyak mata ikut melirik, senang menikmati manis wajahnya.

Sekilas, Tisha Shamsir Alam – dengan keghairahannya pada nyanyian dan lakonan, punya apa yang dimahukan dunia seni.

“Hanya nasib seolah tidak menyebelahi saya,” katanya, jujur.

“… saya sering bertanya pada diri kenapa saya belum juga tiba di destinasi. Kenapa saya tidak sampai-sampai juga?”

Diajak berbicara mengenainya, matanya mula bergenang. Dia senyum pahit, cepat-cepat cuba menyeka tetapi air matanya mengalir juga. Perlahan dia menghela nafas, membetulkan duduknya dan berkata: “Apa saya rasa? Saya tidak boleh tipu. Ia sangat memedihkan.”

Seni sentiasa bertakhta di hatinya yang mula dikenali selepas menjadi protégé Ferhad menerusi program realiti Mentor pada 2012 walaupun dia sebenarnya lebih dulu menyertai satu program pencarian bakat yang dikenali sebagai Audition, 10 tahun sebelumnya.

“Saya tidak akan membohongi untuk mengatakan peluang untuk saya terbentang luas, malah saya sering bertanya pada diri kenapa saya belum juga tiba di destinasi. Kenapa saya tidak sampai-sampai juga?” katanya, menyelak helain rambut yang jatuh ke pipinya.

“Dari umur saya 17 tahun dan kini, 33 tahun, kenapa lama sangat perjalanan ini? Saya tertanya, kenapa seolah susah sangat untuk orang nampak aku? Orang lain macam senang saja naik sedangkan saya masih begini.”

Sibuk memburu minat dalam nyanyian, anak kelahiran Mentakab, Pahang ini tidak menyangka rezeki membawanya ke dunia lakonan. Kala dia hampir kecewa apabila projek rakaman single usai penyertaannya dalam Mentor tergendala, pelawaan daripada Datuk Yusuf Haslam datang mengubati hatinya.

Peranan Inspektor Tisha dalam drama kepolisian Gerak Khas dilihatnya sebagai platform untuk bertapak dalam dunia seni, malah antara kemunculan diingati audiens walaupun sudah dua tahun dia meninggalkan siri berkenaan.

“Ia berlaku begitu sahaja dan bagi saya, apa yang diaturkan Tuhan itulah yang terbaik.”

Juga keberkesanan yang diberikannya sebagai Sofea, watak antagonis menerusi Titian Cinta yang turut dibintangi Zul Ariffin dan Farah Nabila, tidak lama dulu. Kala bintangnya seharusnya sudah mulai menyinar, nasib sekali lagi dilihat mempermainkannya tapi dalam diam, dia rupa-rupanya menyusun rancangan lebih besar.

“Saya sendiri tidak menduga saya akan bergelar produser,” katanya mengenai penubuhan Adtisha Production baru ini, bersama pengurus, Mohd Ady Hafizie Hanaffiah yang juga suaminya. “Selepas lima, enam tahun berlakon, timbul minat untuk beraksi di belakang tabir.

“Sungguh, memang tidak dirancang. Ia berlaku begitu sahaja dan bagi saya, apa yang diaturkan Tuhan itulah yang terbaik.”

Ujian yang menimpa, menurutnya hampir sahaja tidak tertanggung olehnya apabila dia dan suami harus akur pada ketentuan Ilahi apabila dia baru ini, mengalami keguguran semasa dalam proses penubuhan syarikat produksi mereka.

“Saya tidak tahu apakah saya patut bercakap mengenai ini namun saya akui, hati saya hancur,” katanya yang keguguran anak kembar, iaitu yang pertama buatnya dan Mohd Ady semenjak mereka berkahwin pada 2016.

“Saya ajar diri saya untuk menerimanya sebagai ketentuan Tuhan dan Dia akan memberi yang lebih baik buat kami.”

ENGGAN MENYERAH, ENGGAN PATAH SEMANGAT

Kerusi Kecil, drama pertama terbitan syarikat produksinya itu bakal menjalani penggambaran di Kuala Terengganu dan Pulau Perhentian. Diarahkan oleh Ghaz Abu Bakar yang dikenali lewat filem box-office Polis Evo, ia menampilkan nama-nama besar seperti Zizan Razak, Wan Hanafi Su, Bell Ngasri, Alvin Wong dan Nik Adam Mika, selain Tisha sendiri.

Lama penantian, Setiaku Percaya ciptaan Amir Harris pula bakal dirakam sebagai single pertama Tisha dan dijadikan lagu runut bunyi bagi drama mengenai integrasi kaum dan perhubungan antara bapa dan anak yang dikhabarkan akan memperlihatkan sisi berbeza Zizan yang selama ini dikenali dengan watak komedinya.

“Saya kena cari jalan lain untuk kekal dalam industri ini,” akuinya, seraya menambah, “dan tidak boleh hanya menunggu peluang jatuh ke riba. Jadi, mungkin kita perlu mencipta peluang itu dan pada masa sama, membuka jalan untuk orang lain sebab saya tahu betapa  jerihnya dunia seni ini.”

Sambil membetulkan dres mustard yang digayakannya pada petang pertemuan kami, Tisha tidak menafikan dia pernah mahu melupakan sahaja dunia seni lantaran kecewa apabila beberapa perkara dirancang tidak menjadi.

“Satu perkara yang saya belajar daripada perjalanan lebih 10 tahun ini, seandainya kita punya impian, jangan harapkan orang.”

“Kecewa, saya balik kampung dan tekad, tak mahu menyanyi lagi. Masa tu, saya anggap memang tak ada rezeki saya tapi saya tak dapat membohongi hati,” katanya yang bersyukur mendapat sokongan tidak berbelah bagi daripada keluarga dan kini, suami yang turut percaya pada keupayaannya.

Enggan membiarkan diri memikirkan nasib semata, anak kelima daripada tujuh beradik ini yang mewarisi bakat seni daripada bapanya, Shamsir Alam yang merupakan konduktor brass band Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dulu, mempamer semangat juang yang mengagumkan.

“Saya tidak mahu menyerah, tidak mahu patah semangat,” kata Tisha lagi. “Ini (seni) apa yang saya cintai dan saya lakukan semua ini demi kelangsungan minat dalam dunia seni. Kerusi Kecil ini, saya ingat jadi produser sahaja tapi kebetulan, memang ada rancangan untuk merakam single.

Bimbang diselar syok sendiri, Tisha meminta banyak pandangan dan selepas berpuashati bahawa lagu berkenaan yang liriknya berada dalam simpanan bagi satu tempoh agak lama, barulah dia bersetuju ia digunakan bagi drama pertama terbitannya.

Sebelum berpisah, dia menitipkan pandangan: “Persaingan dalam seni sangat sengit, setiap hari ada sahaja pelakon baru, lebih cantik dan berbakat, muncul. Satu perkara yang saya belajar daripada perjalanan lebih 10 tahun ini, seandainya kita punya impian, jangan harapkan orang. Sebab kalau kita mahukan sesuatu, berusaha sendiri dan dengan izinNya, kemenangan akan memihak kepada kita.”