Oleh Malaysia Good News

KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengingatkan Lim Guan Eng supaya tidak mereka-reka cerita mengenai pembabitan Umno dan Pas dalam penganjuran kempen memboikot barangan bukan Islam.

Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi sendiri, menurutnya juga semasa ditanya telah menafikan perkara itu.

Sehubungan itu, katanya Guan Eng yang juga merupakan Setiausaha Agung DAP, disaran supaya membaca kenyataannya yang terdahulu yang membantah sebarang tindakan boikot sebelum cuba memutar belitkan keadaan, kononnya MCA dan MIC hanya tunduk.

“Lim Guan Eng, apa hal ni? Melenting lagi macam kera kena belacan,” kat Dr Wee menerusi perkongsian video di laman Facebooknya, semalam.  “Dari 2 September lalu saya sudah buat kenyataan dengan begitu jelas sekali.

“Tak faham ke atau kamu tak  baca? Kalau kamu tak baca, itu bukan salah saya. Tolong baca, jangan malas.

“Kononnya Umno dan Pas yang menganjurkan satu kempen memboikot barang bukan Bumiputera. Saya tanya sendiri dengan Datuk Seri Zahid, dia kata mana ada… Umno mana ada buat. Kalau dia yang dikatakan telah menganjurkan kempen ini, dia sendiri nafikan, apa lagi?”

Lim, menerusi satu kenyataannya kepada media dilaporkan berkata, Umno dan Pas menyokong kempen berkenaan, walaupun menafikan menganjurkan boikot itu.

Beliau juga dikatakan kesal kerana parti politik bukan Islam atau bukan Bumiputera seperti MCA atau MIC,  “tanpa segan silu menjatuhkan maruah mereka dengan meneruskan kerjasama politik mereka dengan Pas dan Umno” selain “tidak berani bantah secara langsung kepada master politik mereka dalam Pas dan Umno.”

Dr Wee, menerusi perkongsian sama, bagaimanapuin menyelar Lim yang juga Menteri Kewangan kerana cuba mengadu domba.

Lim juga, menurutnya sepatutnya mengambil tindakan sekiranya benar berlaku sabotaj ekonomi.

“Kalau kamu sebagai kerajaan, kamu ada kuasa… kalau ianya adalah satu tindakan yang menyalahi undang-undang, sila ambil tindakan. Kalau itu dianggap sebagai sabotaj ekonomi, buat apa tindakan yang patut kerana kamu berkuasa sekarang.

“Jangan buat cerita semborono, ya. Jangan mereka-reka cerita ya…  Tolong, tolong, tolong! Sekarang nak melaga-lagakan kita ni pasal apa? Eh, kamu tak senang ke kalau kita hidup secara harmoni?” katanya lagi dalam video berdurasi 1:56 minit itu.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu juga menyifatkan, seorang Islam berhak untuk memilih produk halal.

Beliau seterusnya membuat kenyataan yang mencuit hati apabila dengan sinis, turut mempertikaikan penguasaan Lim dalam Bahasa Malaysia seandainya hak untuk memilih membeli barangan halal dianggap sebagai bokoit.

“Seseorang Islam, kalau dia rasa was-was nak beli barangan halal, itu dia punya pilihan. Kalau itu kamu anggap sebagai boikot barangan, saya sedihlah … Kamu (Lim) kena balik ke sekolah ambil SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) semula,” katanya.