Oleh Malaysia Good News

KUALA LUMPUR: Hari Jumaat diisytiharkan sebagai hari penggunaan tulisan Jawi sebagai usaha menyemarakkan tulisan Jawi dalam mengekalkan budaya tradisi sejarah bangsa, kata Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, dalam kenyataannya, semalam menegaskan pengenalan tulisan Jawi harus dilihat daripada sudut sejarah negara ini sendiri.

Beliau berkata, menyusuri catatan sejarah negara dan Bahasa Melayu, secara khususnya tulisan Jawi digunakan sebagai pengantara rasmi, baik dalam hubungan antara negara mahu pun masyarakat sejak dulu lagi.

Tulisan Jawi juga, menurutnya bukan hak Melayu semata tetapi lebih merupakan tinggalan warisan negara dan seharusnya disokong oleh semua kaum.

Beliau berharap, pengisytiharaan itu juga dapat memberi inspirasi kepada kementerian lain untuk turut sama menyemarakkan tulisan Jawi dalam usaha mengekalkan budaya tradisi sejarah bangsa yang dihormati dan dikagumi.

“InsyaAllah dengan semangat ini, kita mengekalkan tradisi dan budaya bangsa kita yang sepatutnya, saya ulangi, disokong oleh semua kaum kerana Jawi bukan hak Melayu tetapi warisan kita, Malaysia,” katanya, menerusi kenyataannya itu.

Foto @DrMujahidYusofRawa

Beliau, sebelum itu menyampaikan tag nama kepada setiap ketua agensi sempena program Semarak Tulisan Jawi yang dilancarkan bagi peringkat agensi-agensi di bawah kementeriannya, di mana seluruh kakitangan agensi agama akan memakai tag nama itu pada setiap Jumaat.

Mujahid juga menyangkal prasangka mengenai  usaha memperkenalkan semula tulisan Jawi  berkait dengan proses Islamisasi.

“Saya tidak pernah menganggap tulisan Jawi sebagai proses Islamisasi sebagaimana yang didakwa oleh pihak-pihak tertentu walaupun ia hampir dengan pentadbiran Islam dari segi, apabila tulisan Jawi hampir pupus di peringkat penggunaan rasmi, hanya pentadbiran-pentadbiran Islam yang mengekalkan ia bagi tujuan untuk kita terus memastikan sejarah budaya tulisan Jawi dikekalkan,” tambahnya.