Oleh Zurina Waji
Gambar Koleksi Kapten Ariffin Abd Rani (Bersara)

ANAK-anak comot bertubuh kurus berlari-lari di zon konflik KM4 itu, di Moghadishu, dengan hanya berkaki ayam, berebutkan roti.

Dan setiap kali mengingatkan renungan mata mereka yang masih bersisa sedikit pengharapan itu, di sebalik kesengsaraan yang entah bila kesudahannya, sering membuat hati Kapten Ariffin Abd Rani (Bersara) meruntun.

“Saya melihat kesengsaraan. Saya melihat manusia berbunuhan demi perebutan kuasa  dan akibatnya, rakyat tidak berdosa, wanita dan kanak-kanak menjadi mangsa,” katanya, mengimbas pengalamannya bertugas di bumi bergolak Somalia, antara Ogos 1994 hingga Februari 1995.

“Dan setiap kali saya bersama anggota Malbat (Malaysia Batallion) lain mengagihkan bekalan makanan kepada mangsa perang ini, sukar untuk saya membayangkan bagaimana kalau ia terjadi di tanahair. Ia sentiasa mengingatkan saya betapa besarnya erti menjadi orang yang merdeka, di tanah yang merdeka.”

Beliau, ketika itu adalah Penolong Ketua Kompeni Keselamatan untuk Pemerintah Pasukan Pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Somalia (UNOSOM), Jeneral Datuk Aboo Samah yang juga merupakan Panglima Tertinggi pertama dari Malaysia dan bertanggungjawab memimpin lebih 18,000 pegawai dan anggota di bawah bendera PBB di negara itu.

Selain ditugaskan menjaga keselamatan Panglima, unit berkenaan juga menurutnya, berada dalam Kompeni quit reaction force yang juga digelar QRF yang membolehkan mereka dipanggil bertempur pada bila-bila masa jika diperlukan.

“… kita dapat merasakan betapa susahnya kita nak mempertahankan negara daripada ancaman musuh… melihat kawan tentera yang cacat anggota semasa melaksanakan tugas.”

Ditauliah pada 1985 dalam Kor Gerakhas (Komando), Kapten Ariffin mengakui pembabitannya di dalam dunia ketenteraan dicetuskan oleh bapanya, Abd Rani Abu Bakar yang pernah berkhidmat dalam Polis British pada 1948.

Senyum, anak jati Selama, Perak ini membisikkan sepertimana kebanyakan kanak-kanak lelaki, sebahagian daripada alasannya menyertai  Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga disebabkan “minat pada seragam tentera.”

Kata anak ketujuh daripada 11 beradik ini, selama 13 tahun berkhidmat sebelum bersara pada 1996, beliau juga pernah menjadi Adjutant Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) selain menjadi jurulatih di Pusat Latihan Peperangan Khusus (Komando) dan Pusat Latihan Rekrut (kini, PUSADA) di Port Dickson.

Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail berkenan memeriksa perbarisan Kor Gerakhas di Kem Sungai Udang, Melaka pada 1993

“Dengan latihan dan pengalaman dalam tentera, kita dapat merasakan betapa susahnya kita nak mempertahankan negara daripada ancaman musuh,” katanya, mengimbau pengalamannya selama bersama ATM sambil mengakui bagaimana “melihat kawan tentera yang cacat anggota semasa melaksanakan tugas terutama pada era 80an” antara yang tidak mungkin dilupakannya.

Justeru, beliau yang berkalih ke bidang pendidikan apabila bersara, membimbing anak-anak muda menerusi  Pusat Tuisyen Akademik Karisma (PTA Karisma) di Kota Baharu, Kelantan yang diasaskan bersama isteri, Nik Marina Datuk Husin, menegaskan jangan dipertikai sejauh mana pengorbanan pasukan tentera.

Kapten Ariffin ditauliah pada 1985 dalam Kor Gerakhas (Komando)

Kini, sebagai Yang Dipertua Kelab Veteran Komando (Kelantan), Kapten Ariffin cukup peka terhadap isu membabitkan tentera, begitu juga kenapa dia memahami perasaan veteran sepertinya apabila muncul pandangan cuba memperlekehkan peranan tentera.

Jati diri, juga semangat patriotisme , menurutnya sentiasa membara dalam jiwa pasukan keselamatan, terutama Komando. Rasa itu, jelasnya diperkukuh ketika beliau bersekolah di Royal Military College (RMC), belajar mengenai “sejarah ketenteraan, bagaimana kita merdeka, peperangan melawan Komunis, berperang secara gerila dan terbuka” selain latihan fizikal, termasuk bermain senjata.

“Sedalam mana kasih (anggota tentera) pada negara? Tiada kata dapat menggambarkan namun apa yang jelas, sanggup berkorban… apa saja,” katanya, perlahan namun cukup bermakna.

BLACK HAWK DOWN

KAPTEN Ariffin ditugaskan ke Somalia, kira-kira 10 bulan selepas berlakunya Battle of Mogadishu pada 1993, sebuah peristiwa membabitkan pasukan tentera Amerika Syarikat (AS), juga di bawah panji PBB dan operasi menyelamatkan selepas berlaku serangan  ke atas mereka.

Perang itu yang diangkat ke layar lebar dan dikenali sebagai Black Hawk Down menampilkan keberanian pasukan tentera AS. Diarahkan oleh Ridley Scott, filem itu bukan saja mencecah kutipan box-office, malah memenangi dua anugerah Academy untuk Bunyi Terbaik dan Suntingan Filem Terbaik pada 2002.

Ia bertumpu pada kisah 10th Mountain Division, namun kata Michael Westone, bekas Komander Kompeni itu, di dalam satu kenyataannya mengakui filem itu tidak menjelaskan misi menyelamat sebenar, iaitu “bagaimana tentera di trak terbuka diserang bertubi-tubi sehingga mereka terpaksa berpatah balik dan berunding dengan pasukan tentera PBB Malaysia untuk menggunakan trak dan pemandu mereka.”

Di bumi bergolak Somalia pada 1994

Ditanya, Kapten Ariffin menjelaskan mengenai insiden pada 3 dan 4 Oktober 1993 itu, “Setibanya di Somalia, walaupun sudah 10 bulan berlalu, suasana di sana masih sensitif dan dalam keadaan berjaga-jaga kerana sentiasa ada pertempuran antara militia dengan militia, juga antara militia dan pasukan PBB.

“Sejujurnya, tidur kami tidak pernah lena.”

“Peristiwa Black Hawk Down memberi kesan, menjadikan tentera kita bersemangat tinggi, kerana pasukan Malbatt berjaya menyelamatkan tentera Amerika semasa dikepung militia di Bakara Market. Keberanian tentera kita, menyusup masuk ke kedudukan musuh walaupun berdepan tembakan bertalu-talu daripada militia Somalia.

“Keberanian anggota tentera Malaysia disanjung tinggi kerana berjaya mara hingga ke kedudukan tentera Amerika yang terkepung dan seterusnya menyelamatkan mereka. Keberanian ini diakui sendiri pasukan Amerika yang terlibat, bagaimana misi diteruskan walaupun tentera kita kehilangan nyawa. Ia membuktikan pasukan kita setanding, malah lebih baik berbanding pasukan lain.”

Selama di Somalia juga, menurutnya pasukan tentera Malaysia dipandang tinggi oleh pasukan dari negara lain dan memuji profesionalisme mereka dalam menjalankan tugas selain diketahui memiliki disiplin yang tinggi.

“Namun di tanahair sendiri, setelah jasa dicurahkan, pengorbanan tentera seolah-olah tidak dihargai,” katanya, kesal. “Ini boleh mematahkan semangat seorang pejuang namun demi tanggungjawab dan cinta kepada tanahair, semangat anggota tentera kekal  dan tidak luntur di sebalik penghinaan tentera ini hanya ‘makan dan tidur sahaja.

“Pernah, selepas bersara, ada suara sumbang melemparkan ‘askar tahu apa?‘ Ini menyedihkan orang seperti saya, seolah-olah askar Malaysia ini tiada nilai. Keamanan sesebuah negara bukan hanya bergantung pada keharmonian antara rakyat tapi daripada segi pertahanan, tentera mesti sentiasa bersedia pada apa jua kemungkinan.

“Sejujurnya, tidur kami tidak pernah lena.”

Bertugas, menurut Kapten Ariffin, bermakna harus meninggalkan keluarga, dan itu adalah sukar dan memerlukan pengorbanan.

Kapten Ariffin memberi sokongan buat isteri, Nik Marina (kiri) sebagai Penasihat Karisma Humanitarian Outreach Mission (KHOM) pada misi kemanusiaan bagi membantu pelarian Syria di Jordan, Syawal lalu.

“Berhujah mengenai semangat patriotisme dalam Dewan Rakyat yang berhawa dingin adalah mudah kerana mereka tidak diuji dengan peluru lalu di atas kepala.”

“Mengangkat senjata untuk mempertahankan negara adalah satu pengorbanan, juga ada rasa bangga dapat berkhidmat untuk negara. Setiap kali kami pergi bertugas, belum tentu dapat bertemu kembali dengan anak isteri dan keluarga. Saya akui hati kami resah, sentiasa memikirkan bagaimana keluarga jika kami tidak kembali,” katanya.

Perang saudara di Somalia, juga di banyak negara bergolak antaranya disebabkan pemimpin digulingkan dan kekayaan negara tidak dibahagi sama rata, jelasnya. Dia melihat bagaimana mereka yang keluarganya, terbunuh dalam peperangan sedangkan harta dan tanah dirampas, merasa tiada apa yang hendak dipertahankan.

“Kerana itu, ahli politik terutamanya jangan keluar kata ikut sedap rasa tanpa memikirkan kesan buruknya. Berhujah mengenai semangat patriotisme dalam Dewan Rakyat yang berhawa dingin adalah mudah kerana mereka tidak diuji dengan peluru lalu di atas kepala.

“Adakah ahli-ahli politik dan orang kaya sanggup mempertahankan negara apabila diuji sebegitu?” katanya, seraya membetulkan kedudukan beret hijau yang menyimpan jerih payah, sekaligus lambang kebanggaan Komando sepertinya.

“Hargailah kemerdekaan yang kita nikmati kerana ‘membina mengambil masa, memusnahkan hanya sekelip mata.”

Kapten Ariffin bersama tim Karisma Humanitarian Outreach Mission (KHOM) di Yarmouk University di Irbid, Jordan