Oleh Malaysia Good News

PUTRAJAYA: Didenda, mungkin orang tidak hairan, jadi apa kata kalau dihukum cuci tandas?

Hukuman kerja sosial, termasuk membersihkan tandas sedang dipertimbangkan untuk dikenakan terhadap perokok yang didapati bersalah melanggar arahan larangan merokok di tempat awam, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berpandangan bahawa hukuman kerja sosial seperti memungut sampah dan memotong rumput, selain membersihkan tandas dilihat sebagai lebih efektif berbanding denda.

Hukuman seumpama itu, menurutnya berkemungkinan membuatkan orang berfikir dua kali untuk melanggar peraturan yang ditetapkan terutama dalam kalangan mereka yang mampu untuk membayar denda yang dikenakan.

“Hukuman denda akan membuat orang berfikir kalau ada duit boleh buat kesalahan. Jadi, saya melihat kepada hukuman kerja sosial ini dengan teliti,” katanya, memetik ucapannya pada majlis perjumpaan bulanan Kementerian Kesihatan  di sini, kelmarin.

Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha, Datuk Mohd Shafiq Abdullah; Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Rohaizat Yon.

Bermula 1 Januari lalu, arahan larangan merokok dikuatkuasakan di semua tempat makan, sama ada berhawa dingin atau berkonsep terbuka, termasuk di tepi jalan. Perokok yang melanggar peraturan boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Tempoh enam bulan aktiviti penguatkuasaan pendidikan bagi pewartaan tempat makan sebagai kawasan larangan merokok yang diberikan sebelum ini, telah dilanjutkan sehingga akhir Disember ini.

Sehingga kini, kata Dr Dzulkefly, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan di 129,180 premis, di mana sebanyak 30,698 notis amaran larangan merokok sudah dikeluarkan.