Oleh Zurina Waji | Gambar Fauzi Hamid

IA saat di mana senario sebegitu hanya dapat dibayangkan di layar lebar seperti dalam Blues Brothers. Saat di mana suara dalam seorang lelaki tua melagukan Boom Boom bersama sekumpulan pemuzik kulit hitam jamming di jalanan, di daerah kejiranan yang sesak.

Benar, Mojo Beast Blues bukan John Lee Hooker.

Tapi buskers yang kuat pengaruh blues ini tidak pernah gagal untuk mengingatkan audiensnya tentang apa sebenarnya yang dinamakan muzik.

Seorang seperti Nadim Mohd Zain sejujurnya sudah berada di tahap, di mana duit apatah lagi glamour bukan apa yang dikejarnya. Busking di ruang luar kompleks The Curve di Damansara, berdepan kafe Chaiwalla & Co dengan trademark kontena hitamnya pada setiap Ahad, hanya satu yang begitu diinginkan beliau dan teman bandnya – mahu main muzik.

“Nak main di kelab, tidak ada pasaran lagi untuk orang seperti kami,” katanya, ketawa kecil, separuh berseloroh mengenai usia beliau dan teman-teman pemuziknya yang melewati usia 50an. “Jadi, kami buskinglah supaya boleh terus bermain muzik.

“Ini platform untuk penggemar muzik bermain didorong semata-mata kerana keghairahan pada muzik.”

“Lalu, saya bertemu pemilik Chaiwalla & Co pada Mac 2016, menawarkan segmen muzik untuk menghiburkan pelanggannya dan kami dapat platform untuk main muzik. Sama-sama menang.”

Ditanya tidakkah pemuzik sepertinya berasa malu mengadakan persembahan di jalanan pada usia sebegini, dia yang sedang membetulkan topinya, tunduk seolah memikirkan sesuatu. Senyum, dia mengangkat muka, menjawab: “Kami sudah main muzik seawal tahun 70an.”

Sambil menunjukkan ke arah teman-teman pemuzik jemputan pada malam pertemuan kami, pada seorang rocker dengan top hatnya, pada seorang bertubuh gempal berkaca mata dengan rambut kerintingnya yang mencecah bahu, juga pada beberapa lain yang berambut gondrong, malah ada sudah memutih, katanya:

“Itu, yang pakai topi tu… Lord yang mendirikan Ella and The Boys. Berbadan gempal tadi, Poe yang dikenali dengan muzik reggaenya. Saya sendiri berlatar bidang kewangan dan perniagaan, terbabit antaranya dalam minyak dan gas tapi selepas lima tahun bersara, ternyata minat pada muzik masih mekar.

“Lalu, saya bertemu pemilik Chaiwalla & Co pada Mac 2016, menawarkan segmen muzik untuk menghiburkan pelanggannya dan kami dapat platform untuk main muzik. Sama-sama menang. Kami bermula dengan dua gitar akustik dan kini, ada band yang lengkap malah boleh berkongsi platform dengan pemuzik baru lain.”

Dia yang melanjutkan pengajian ke Amerika Syarikat, antaranya dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan di Winthrop University, menghela nafas. Sempat dia mengelap peluh dengan tuala kecil yang kemudian dikembalikan ke bahu kanannya sebelum menyimpulkan: “Jadi, apa salahnya busking pada usia sebegini?”

Mojo Beast Blues, menurutnya yang diinspirasi jazzdan fusion, antaranya selain blues, bukan hanya mahu memperdengarkan muzik yang baik malah ingin membuka mata masyarakat, terutamanya penggemar muzik bahawa minat tidak seharusnya terhalang oleh usia.

“Kerana apa yang penting ialah anda melakukan apa yang anda suka. Itu menjadikan hidup lebih bermakna,” tambahnya.

JADI MACAM YUNA

Jelas, Nadim memang ada banyak sebab untuk bersyukur dengan apa yang mereka lakukan sekarang.

Segmen Ahad dukungan Nadim yang memperlihatkan gabungan pemuzik berpengalaman jadi penyebab mempererati kembali silaturahim, di samping mengenali bakat muda yang diberi laluan untuk mempamer keupayaan menerusi segmen setiap Sabtu.

“Main muzik mungkin minat yang tertangguh tapi ia tidak pernah padam. Salah untuk mengandaikan minat harus berkubur bersama usia. Saya gembira kerana pada usia sebegini, kami melakukan apa yang kami suka. Kami diundang ke Blues Fest seperti di Langkawi dan Pangkor, malah di majlis korporat sampai majlis kahwin.

“Sudah tentu berbeza apabila kita tidak lagi bermain untuk wang, tapi lebih berkesan tentunya apabila kami ada platform untuk beramal juga, misalnya apabila duit hasil busking kami bantu teman-teman pemuzik dan sudah jadi kebiasaan, tukaran kecil dan asing saya kumpul dan masukkan ke dalam tabung masjid,” katanya.

“… anda harus tampil berbeza. Anda perlu ada skil, harus berani. Seperti Yuna, unik dan lihat di mana dia sekarang?”

Sedang berbual, Nadim yang juga menggemari irama country serta mengagumi pemuzik seperti Eric Clapton dan Jimi Hendrix ketawa apabila mengimbas bagaimana remaja era 70an sepertinya mencambahkan minat dalam muzik.

Dibesarkan di Kelantan, akuinya kecenderungan pada muzik sebegitu bukanlah suatu yang biasa.

“Saya ada satu rancangan radio yang saya minat setiap Ahad yang merupakan hari bersekolah di Kelantan,” katanya, senyum. “Bukan rancangan lokal, tapi dari Vietnam yang memperdengarkan muzik Amerika. Tak mudah nak dapatkan siaran  tapi itulah sekolah saya untuk belajar, kenal muzik.

“Sebab itu, saya mencemburui anak-anak sekarang kerana segalanya kini hanya di hujung jari. Peluang untuk anak muda lebih luas tapi disebabkan persaingan juga makin sengit, anda harus tampil berbeza. Anda perlu ada skil, harus berani.

“Seperti Yuna, unik dan lihat di mana dia sekarang? Di New York, terpampang papan iklan dengan wajahnya. Bakat sahaja tidak cukup, tapi kena berani dan ada kesungguhan barulah menjadi. Penting, anda kena tahu apa yang anda buat.

”Entah bagaimana perbualan kami berkisar pada suasana politik semasa sebelum berganjak pada perkembangan seni tanahair dan wajah Nadim berubah. Perlahan, katanya, “Saya tidak suka dengan apa yang saya nampak sekarang.”

“… hanya orang lama yang ada keghairahan pada muzik dan berharap dapat menyebarkan keindahan yang dicetuskan muzik dari pentas kecil ini…”

Dia memberitahu ingin melihat dunia seni tanahair meraih sokongan sebagaimana di Indonesia yang terkenal, antaranya dengan penganjuran Java Fest, begitu juga Thailand yang memperlihatkan apreasiasi lebih baik daripada masyarakat, termasuk pihak Kerajaan.

Ini kerana, katanya seni dan muzik tidak sepatutnya dilihat sebagai sebuah hiburan semata.

“Anak-anak yang dibiasakan dengan seni muzik dari kecil dapat mengembangkan otak kiri mereka yang menggalakkan kreativiti. Anda tahu, bukan bagaimana muzik membantu mengurangi tekanan dalam hidup? Peranan muzik dalam hidup manusia dan pembentukan sesebuah masyarakat itu tidak boleh dinafikan.

“Kami pun bukan sesiapa, hanya orang lama yang ada keghairahan pada muzik dan berharap dapat menyebarkan keindahan yang dicetuskan muzik dari pentas kecil ini, singgah di hati anda dan membekas.

“Kami gembira kerana dapat menggembirakan hati orang yang datang mendengar muzik kami, juga senang kerana dapat memberi laluan, walau hanya langkah kecil, untuk anak-anak muda kita agar keghairahan mereka terus bercambah dan menjadi tunjang untuk menjulang seni tanahair dan nama Malaysia di mata dunia,” katanya.