Oleh Malaysia Good News

KUALA LUMPUR: Usaha mengesan masalah penyalahgunaan dadah di kalangan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PRDM) menerusi Op Blue Devil dibuat demi mempertingkatkan integriti sebagai penguatkuasa undang-undang.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, berkata ia sekaligus bagi membersihkan PDRM daripada eleman rasuah, misalnya membabitkan anggota yang terdesak mencari duit secara haram bagi membeli dadah.

Operasi yang bermula pada 13 Ogos lalu itu, menurutnya menyaksikan lebih 100 anggota polis dikesan positif dadah dan tindak-tanduk mereka sudah dijangka dan terbukti, apatah lagi kerana turut didapati terbabit dengan kes pemerasan, rasuah dan ugut, terutama terhadap warga asing.

“Saya sudah syak, jadi mereka inilah yang saya sasarkan selain kumpulan-kumpulan tertentu dalam unit-unit di bawah PDRM. Maka, terbukti memang perkara ini adalah sebenarnya apa yang berlaku.

“Maklumlah kos untuk memenuhi tabiat itu tinggi kerana dadah dibeli dengan harga yang tinggi dan dengan gaji yang kecil, mereka (pegawai dan anggota yang menagih dadah) terpaksa mencari wang dengan cara haram,” katanya, memetik temubualnya bersama Bernama News Channel di sini, semalam.

Abdul Hamid menyifatkan, jumlah mereka yang ditahan menerusi Op Blue Devil itu berada di tahap kritikal dan serius.

Datuk Seri Abdul Hamid Bador

Katanya, PDRM mengambil pendekatan secara menyeluruh yang memerlukan pegawai dan anggotanya menjalani ujian saringan air kencing, yang mana sebahagian mereka didapati positif pelbagai jenis dadah, terutama syabu.

“Jika warga PDRM yang diberi tanggungjawab dan amanah untuk menguatkuasakan undang-undang, tetapi mereka sendiri pun terlibat dengan kegiatan ini, apa hendak jadi dengan negara ini,” tambahnya yang turut mengesahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) juga diarah jangan berhenti membuat operasi.

Sambil mengimbas masalah dadah di kalangan anggota penguatkuasa di Amerika Latin dahulu, Abdul Hamid berkata: “Bayangkan keadaan yang pernah berlaku di Amerika Latin dahulu, maka usaha pencegahan penyalahgunaan yang menyeluruh mesti dilaksanakan.”

Operasi pencegahan penyalahgunaan dadah itu juga, jelasnya, adalah sebagai serampang dua mata dengan serbuan disasarkan ke atas makmal-makmal memproses dadah, selain menangkap pengedar serta penagih dadah.