Oleh Malaysia Good News

KUALA LUMPUR: Proton menzahirkan makna patriotisme dengan melancarkan model SUV keluaran terhad, Proton X70 Edisi Merdeka bersempena sambutan hari kemerdekaan Malaysia yang ke-62, memetik kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Bersesuaian dengan sambutan ke-62 kemerdekaan negara, hanya 62 edisi berkenaan dipasarkan pada harga RM126,000 seunit sahaja.

Kata kenyataan itu lagi, varian SUV premimum itu boleh didapati dalam dua pilihan warna, iaitu Snow White dan Flame Red.

“Proton mensasarkan untuk menjual unit tersebut pada bulan Merdeka dan diyakini mampu untuk berbuat demikian berdasarkan pada permintaan semasa untuk Proton X70,” jelas Proton.

Secara mekanikal, kata kenyataan itu, spesifikasi Proton X70 Edisi Merdeka ini sama dengan varian premium biasa Proton X70 kecuali penambahan yang dibuat pada bahagian luar selain trim dalaman kereta berkenaan.

Juga menarik, bagaimana edisi terhad ini dilengkapi angka khusus yang melambangkan Edisi Merdeka, sekaligus menjadikannya unik.

Kenyataan sama juga menyebut mengenai “visor pintu yang telah ditambah bersama-sama dengan scuff plate dan lambang Edisi Merdeka dipasang pada pintu bonet belakang.”