Oleh Malaysia Good News

KUALA LUMPUR: Industri pengangkutan udara Malaysia bakal mencipta sejarah apabila Super Dron dengan teknologi Kepintaran Buatan (AI) memasuki pasaran, tahun ini, sekaligus merevolusi pengangkutan udara dunia.

Projek diusahakan EastCap Berhad dengan kerjasama syarikat dari China, E Hang Intelligent Equipment dan Strong Rich Holdings Limited.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan EastCap Berhad, Datuk Seri Zakwanhafiz Ahmad Ansari, berkata kerjasama strategik  itu antara lain bertujuan bagi menjalankan operasi pengangkutan itu di negara ini.

Disasarkan kepada pihak berkepentingan, termasuk kerajaan dan pihak berkuasa katanya pengenalan projek itu tidak pernah bermaksud bagi pengangkutan awam, sebaliknya lebih bertumpu pada tujuan keselamatan dan perubatan, antaranya.

“Tujuan kerjasama strategik adalah bagi memasarkan, menjalankan operasi, perkhidmatan serta penyelenggaraan Super Dron di negara ini.

“Teknologi dron dengan AI ini sesuai digunakan pihak berkuasa untuk melakukan pemantauan keselamatan di kawasan sempadan negara, contohnya di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM),” katanya, memetik kenyataannya di sini, semalam.

Zakwanhafiz berkata, selain Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Super Dron juga dilihat dapat menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan yang mana boleh digunakan Kementerian Pelancongan ke pulau-pulau, misalnya.

Ini kerana, menurutnya kenderaan ini boleh digunakan bagi membawa sehingga dua penumpang dengan kapasiti maksimum 600 kilogram pada satu-satu masa, membabitkan kos serendah RM80 bagi satu perjalanan.

Jika kerajaan boleh memberikan insentif dan tawaran menarik bagi teknologi berkenaan, katanya projek ini berpotensi dikembangkan menerusi pembinaan kilang pemasaran Super Dron di negara ini dengan kadar pengeluaran 10,000 unit setahun.

“Super Dron ini terbukti mampu menjimatkan kos, mesra pengguna dan boleh menyelesaikan masalah mobiliti, khususnya di kawasan bandar sekiranya berlaku kecemasan dan memudahkan pemantauan tanpa kesesakan.

“Ia mampu melakukan penerbangan bagi ketinggian 300 meter dengan kelajuan maksimum 130 kilometer sejam dengan jarak bagi kapasiti bateri sejauh 110 kilometer,” tambahnya.