Oleh Malaysia Good News

PETALING JAYA: Persatuan Patriot Nasional (Patriot) membidas cadangan agar anggota tentera dialih bekerja di ladang seperti di Felda yang disifatkan bukan sahaja tidak masuk akal, malah menunjukkan kejahilan terhadap peranan mereka.

Presidennya, Mohamed Arshad Raji, berkata dakwaan bahawa anggota tentera “tidak melakukan apa-apa kecuali makan dan tidur” sebagai satu pandangan yang dangkal sedangkan hakikatnya, mereka menjaga keamanan negara.

Selain menyifatkan tumpuan anggota tentera adalah berlatih untuk perang, menurutnya keamanan yang dinikmati Malaysia yang menjadi salah satu tunjang kepada pembangunan pesat ekonominya, sebahagiannya didukung anggota tentera ini.

Justeru, katanya menyamakan anggota tentera setaraf buruh asing seperti yang dinyatakan taikun, Koon Yew Yin menerusi blognya, baru-baru ini, selain bekas menteri Sabah, Harris Salleh seolah-olah memperlekehkan pengorbanan mereka, selama ini.

“Cadangan daripada kedua-dua orang ini tidak masuk akal dan menunjukkan kejahilan mereka terhadap peranan anggota tentera. Berada di waktu aman tidak bermakna anggota tentera tidak melakukan apa-apa seperti apa yang Koon katakan,” katanya, memetik kenyataannya, di sini semalam.

“Tumpuan utama mereka adalah berlatih untuk perang. Ini, orang awam dan ahli politik tidak dapat memahami kerana mereka tidak melihat kemungkinan pada apa-apa peperangan.”

Mohamed Arshad Raji

Koon, menerusi tulisannya berjudul “Cadangan saya untuk mengurangkan dan meningkatkan perkhidmatan awam kita”, yang menegur supaya perkhidmatan awam diperbaiki, mendakwa anggota tentera “hampir semua tidak pernah melepaskan tembakan melainkan di papan sasaran” disaran “menggantikan pekerja asing di ladang Felda.”

Bagaimanapun, selepas dikecam berikutan kenyataannya itu, pengasas Gamuda Bhd itu memuat naik permohonan maaf serta mengaku kesal ia dikeluarkan, namun mendakwa dia tidak berniat memfitnah atau merendah-rendahkan anggota tentera, apatah lagi mahu mencetuskan kekacauan.

Seraya menggambarkan anggota tentera mahir dalam peranan masing-masing, kata Mohamed Arshad: “Mereka sudah pasti bukan buruh murahan. Mereka dilatih sebagai pembunuh profesional yang negara kita bergantung kepadanya.”

Jelasnya lagi, “Mereka melakukan pekerjaan yang tidak dapat dilakukan orang awam. Mereka dilatih untuk melalui dan menanggung kepayahan. Mereka semua memahami ketika mereka diterima masuk tentera, mereka perlu bersedia untuk mati, bahkan berkorban untuk kejayaan mana-mana misi penting.”

Beliau, menerusi kenyatan sama, berkata angggota tentera Malaysia sentiasa diperlukan walaupun semasa negara sudah aman, termasuk bagi menjaga sempadan selain menyertai misi perdamaian yang  berisiko, misalnya.

Ini, menurutnya memerlukan pasukan tentera yang kuat dan ia terletak pada disiplin serta semangat yang tinggi di kalangan anggotanya.

“Jika tentera kita tidak teratur, kurang terlatih, tidak berdisiplin dan rendah semangat, pemimpin kita akan kehilangan harga diri dan tidak dihormati, iaitu elemen yang sangat diperlukan dalam hubungan antarabangsa,” katanya.