Oleh Malaysia Good News

CYBERJAYA: Industri automotif negara bakal melakar sejarah lagi apabila kereta nasional ketiga bakal dibangunkan kelak oleh syarikat penyelidikan dan pembangunan tempatan, Dream EDGE Sdn Bhd (DreamEDGE) menggunakan teknologi hibrid.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking, berkata kereta nasional itu akan dibangunkan DreamEDGE yang berpangkalan di sini, dengan sokongan teknologi Daihatsu Motor Company, sebuah syarikat Jepun.

Diilhamkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau berkata model prototaip sepenuhnya kereta yang bakal menggunakan model sedan segmen C itu juga dijangka diumumkan pada Mac tahun depan.

Nama jenama dan model, serta cadangan harga jualan kenderaan itu bagaimanapun katanya, masih dalam perbincangan.

“Pemilihan DreamEDGE dibuat berdasarkan kepakaran yang dimiliki mereka dalam pembangunan teknologi baharu berkaitan automotif.

“Daihatsu akan memberi sokongan teknologi dalam beberapa bidang berkaitan seperti penyediaan platform dan pembangunan enjin. Selain itu, ia turut membolehkan pemindahan teknologi dan kepakaran antara dua syarikat itu.

“Objektif kereta nasional baharu adalah membangunkan teknologi baharu yang jimat tenaga dan menggunakan sistem hibrid yang mana syarikat ini memiliki kepakaran untuk melaksanakannya,” katanya, memetik kenyataannya pada sidang media di sini, semalam.

Turut hadir, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif DreamEDGE, Khairil Adri Adnan dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari.

@MITIMalaysia

Idea pembangunan Proton Saga sebagai kereta nasional pertama negara juga adalah hasil cetusan Dr Mahathir, ketika itu dengan kerjasama Mitsubishi Lancer dengan model sulungnya dilancarkan pada Julai 1985.

Pada sidang media bagi mengumumkan pembangun projek kereta nasional baharu itu, Darell berkata, pembangunan model kereta nasional bersama Daihatsu itu akan dibiayai sepenuhnya menerusi pelaburan swasta.

Biarpun tanpa bantuan dana daripada kerajaan, menurutnya syarikat berkenaan masih boleh memohon geran daripada kerajaan.