Oleh Malaysia Good News

KUALA LUMPUR: Pengenalan seni khat bagi murid Tahun Empat, termasuk di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan SJK Tamil (SJKT), mulai tahun depan mengguna pakai kaedah tekap, sambung titik pada tulisan jawi dan tiru semula untuk dijadikan seni khat.

Pensyarah Pemerolehan dan Pembelajaran Bahasa, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr S Vijayaletchumy, berkata seni khat itu akan diajar hanya empat kali setahun, dalam tempoh 10 minit terakhir pada sesi pembelajaran Bahasa Melayu.

Selain itu, beliau berkata sehingga enam aksara daripada tulisan Jawi sahaja yang akan diperkenalkan kepada murid sebagai bahan sokongan kemahiran bahasa sesi pengajaran dalam matapelajaran Bahasa Melayu.

Sehubungan itu, beliau yang juga salah seorang ahli panel terbabit dalam menggubal kurikulum itu, berharap isu berkenaan tidak terus dipolitikkan kerana ia dibincang dengan teliti dan disepakati lebih 30 ahli bahasa, guru sekolah SJKC dan SJKT.

Sambil mengakui berlaku salah faham atau kekeliruan antara tulisan Jawi dan khat, beliau menjelaskan:   “Tulisan Jawi adalah tulisan rasmi, manakala tulisan khat adalah antara aspek seni bahasa atau kaligrafi dalam Bahasa Melayu yang membabitkan tulisan Jawi ditulis secara berangkai menjadi tulisan khat.

“Kementerian Pendidikan (KPM) memasukkan seni khat dalam pengajaran Bahasa Melayu kerana ia adalah sebahagian daripada warisan Bahasa Melayu yang mempunyai nilai estetika tersendiri… yang diajar adalah seni khat dan bukan tulisan Jawi. Jadi, ia adalah salah faham,” katanya, memetik kenyataannya kepada Bernama.

Isu pengenalan tulisan khat kecoh susulan pengumuman KPM untuk memperkenalkan tulisan khat dalam subjek Bahasa Melayu bagi murid Tahun Empat dan mendapat bantahan pihak tertentu, termasuk beberapa pemimpin akar umbi DAP, selain beberapa pertubuhan pendidikan Cina dan Tamil di negara ini.

Berhubung kebimbangan ibu bapa murid SJKC dan SJKT,  Vijayaletchumy menegaskan tulisan khat langsung tidak membabitkan pembelajaran berunsur agama Islam.

Khat, menurutnya hanyalah seni kaligrafi sama seperti kaligrafi Cina.

“Murid akan belajar perkara ini secara santai dan ia adalah unsur tambahan sahaja. Ini juga adalah psikomotor sebab seni tulisan khat ini akan memerlukan murid untuk memanjangkan tulisan ke kiri, ke kanan, ke bawah dan sebagainya.

“Ia juga baik untuk minda kerana murid akan lebih seronok dan santai untuk belajar disebabkan tiada tekanan untuk mereka diuji dan lulus, membolehkan sesi pembelajaran dan pengajaran dapat dilakukan lebih baik,” tambahnya.