Oleh Malaysia Good News

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir perlu meneruskan pentadbiran, terutama dalam memberi tumpuan kepada pembangunan sosio-ekonomi dan bukannya digasak dengan isu peralihan kuasa kepada penggantinya.

Tan Sri Rafidah Aziz, bekas menteri yang kini menganggotai Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), berkata apa yang tidak diperlukan saat ini ialah isu yang akan mengalih perhatian daripada soal meneruskan pembangunan negara.

Rakyat, menurutnya tidak sepatutnya diselubungi isu bila Dr Mahathir akan menyerahkan kuasa kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedangkan kelancaran pentadbiran negara yang lebih patut diutamakan.

“Hidup kita berada dalam ketentuan Ilahi, jadi jangan bercakap tentang dua atau tiga tahun. Teruskan apa yang dilaksanakan kerana dasar perlu melampaui satu tahun, dua tahun… itu adalah dasar yang kita teruskan untuk generasi akan datang dan selepa situ.

“Sudah tentu, Dr Mahathir ada berkata beliau tidak mahu jadi PM (Perdana Menteri) untuk selama-lamanya.

“Kami tidak meminta anda (jadi PM) sehingga anda berumur 100 tahun, kami cuma berkata tidak bercakap tentang hal itu, teruskan (pentadbiran),” katanya dalam ucaptama pada Wacana Perdana Siri ke-12 di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, semalam.

Pada wacana bertajuk  “Faktor-Faktor Menghalang Kemajuan Ekonomi Malaysia dan Bagaimana Untuk Menanganinya” itu, beliau turut melancarkan buku terbitan Yayasan Kepimpinan Perdana, “Revisiting Atas Angin: A Review on Malay Imagination of Rum Feringghi and Pengajah” oleh Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican.

Rafidah, ketika diminta pemberita untuk mengulas, sebaliknya dipetik berkata, beliau “tidak berminat untuk membicarakan apa-apa perkara yang tidak berkaitan.”

Beliau malah percaya kebanyakan rakyat Malaysia enggan masalah itu menjadi kekangan kepada usaha-usaha kerajaan meneruskan pelan pembangunan demi membawa kemajuan dan pembangunan sosial ekonomi.

“Saya lebih prihatin terhadap kesejahteraan negara. Jika anda mula bercakap mengenai semua perkara ini (peralihan kuasa), anda akan mengalih perhatian daripada isu teras iaitu meneruskan pembangunan negara ini.

“Kita telah keluar dari masalah serius melibatkan kredibiliti, imej, keberhutangan dan sistem yang terhakis,” katanya.