Oleh Malaysia Good News

MELAKA: Pelaksanaan bagi memperkenalkan seni khat dan tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 mulai 2020 akan diteruskan biarpun mendapat bantahan pihak tertentu, tegas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ia, sebagaimana kenyataan Kementerian Pendidikan sebelum ini, selaras dengan usaha menerapkan nilai warisan bahasa  Melayu dan identiti negara.

Dr Mahathir malah beranggapan tindakan pihak berkenaan mempersoalkan mengenai pengenalan tulisan khat sebagai tidak wajar memandangkan kerajaan sendiri tidak pernah membantah penggunaan tulisan dalam bahasa lain.

Penggunaan tulisan dalam bahasa seperti bahasa Cina, menurut beliau lagi, juga dianggap sebagai suatu yang istimewa di negara ini, tidak seperti di negara lain, sekaligus memperlihatkan dasar kemakmuran bersama yang diamalkan Malaysia.

“Tulisan bahasa Cina tidak dibenarkan di negara lain termasuk Filipina, Indonesia dan Thailand. Ini adalah sesuatu yang istimewa kerana (Malaysia) tidak pernah menghalang penggunan tulisan kaum masing-masing.

“Tidak kenalah kalau segelintir pihak dalam DAP dan pertubuhan tertentu untuk menentang penulisan khat.

Tulisan khat ini adalah satu seni yang tinggi dan baru ini, saya pergi ke Turki dan Turki juga menggunakan tulisan rumi tetapi mereka cukup cekap dalam mengukir tulisan khat dengan Jawi,” katanya, ketika berdialog dengan penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) sempena Majlis Townhall Semarak Merdeka bersama Perdana Menteri di Bandar Hilir di sini, malam tadi.

Disertai kira-kira 2,000 orang, program diadakan bersempena kunjungan Perdana Menteri ke Melaka bagi merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 yang diadakan di Dataran Pahlawan.

Kementerian Pendidikan, dalam satu  kenyataannya kelmarin, menyebut pelaksanaan pengenalan tulisan khat akan mengambil kira pendekatan penyampaian yang lebih mudah difahami dan tidak membebankan murid dan guru.

Tulisan Jawi adalah warisan Bahasa Melayu yang penting untuk dipelajari, sejajar dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan, selain terdapat juga pada jata negara, jata negeri dan wang kertas Ringgit Malaysia.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, dalam kenyataannya kepada media sebelum ini, mengumumkan penggunaan tulisan Jawi dalam buku teks di semua sekolah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil yang bagaimanapun, mendapat bantahan pemimpin akar umbi DAP termasuk sebahagian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) parti itu.