Oleh Malaysia Good News | Gambar @drwawi

KUALA LUMPUR: Bayi luar nikah tidak berdosa dan seharusnya diselamatkan serta diberi perlindungan, termasuk diserahkan kepada keluarga angkat, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, mengesa golongan remaja perempuan dan wanita yang hamil luar nikah tidak membuang bayi yang dilahirkan dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa atau agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Beliau berkata, langkah menyelamatkan bayi yang dilahirkan itu merupakan tumpuan utama dalam usaha memupuk kesedaran masyarakat menerusi kempen #SaveALife dalam mengurangkan kes pembuangan bayi di negara ini.

Kempen yang sedang giat dijalankan itu, menurutnya membabitkan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturlrahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia yang dikenali sebagai Kasih Malaysia dan pihak berkuasa.

“Fokus utama kami sekarang ialah untuk menyelamatkan nyawa bayi yang dilahirkan kerana mereka tidak bersalah dan nyawa mereka sangat berharga.

“Program ini (Save A Life) bukan bermakna kita galakkan orang buat seks luar nikah tetapi kita ingin beri perlindungan, khasnya kepada bayi dan juga wanita hamil luar nikah.

“Kita perlu fokus kepada keselamatan, kesihatan dan kebajikan kedua-dua bayi serta ibunya. Ini kerana institusi kekeluargaan adalah sangat penting,” katanya, memetik ucapannya ketika merasmikan kempen mencegah pembuangan bayi #SaveALife di sini, semalam.

Dr Wan Azizah berkata, kerajaan bagaimanapun tidak boleh bekerja sendirian dalam menangani isu meruncing ini dan amat memerlukan sokongan serta kerjasama daripada semua pihak bagi memastikan usaha itu berjaya.

Prihatin terhadap kebimbangan golongan remaja yang melahirkan anak luar nikah, beliau menyeru mereka mendapatkan bantuan dengan menelefon Talian Kasih 15999 dan JKM akan ke lokasi di mana mereka berada untuk dibantu.

Kementeriannya juga, menurutnya mempunyai kaunselor bertauliah dalam mengendalikan kes seumpama itu dan sentiasa bersedia untuk membantu memberi perlindungan kepada wanita berkenaan dan bayi yang dilahirkan.

“Saya yakin kempen #SaveALife ini akan mencapai objektif untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai mengenai isu risiko kehamilan luar nikah dan komplikasinya, kesihatan seksual reproduktif dan pembuangan bayi,” katanya, sambil berharap lebih banyak bayi dapat diselamatkan di masa hadapan.