Oleh Malaysia Good News | Gambar @anwaribrahim

KUALA LUMPUR: Cadangan penggubalan undang-undang gangguan seksual bagi melindungi lelaki bukan sahaja tidak munasabah, malah dilihat menghina wanita.

Presiden PKR, Datuk Anwar Ibrahim, berkata cadangan itu yang kononnya bagi melindungi lelaki daripada terjebak dengan jenayah seperti kes cabul dan rogol, juga membalikkan persepsi buruk terhadap golongan lelaki sendiri.

Disebabkan itu, menurutnya PKR menolak cadangan berkenaan yang sebenarnya turut menampakkan seolah-olah golongan lelaki sebagai tidak bermoral.

“Cadangan juga memberi gambaran bahawa golongan lelaki tidak bermoral dan mudah tergoda hingga boleh terlibat dengan perbuatan keji,” katanya, memetik satu kenyataan yang dikeluarkan.

Sehubungan itu, Anwar berkata, adalah lebih molek sekiranya fokus diberi terhadap agenda bagi memartabatkan kaum wanita.

Iaitu, katanya dengan memperkasa undang-undang dalam menolak sebarang serangan seksual terhadap golongan wanita.

Cadangan itu, sebelum ini dikemukakan Senator PKR, Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abd Hamid bagi mewujudkan undang-undang gangguan seksual untuk melindungi golongan lelaki, sekaligus menjadikan negara aman.

Ia dibuat ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Guaman Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan 2019 di Dewan Negara, di sini, semalam.