Oleh Malaysia Good News | Gambar @anwaribrahim.keadilan

KUALA LUMPUR: Dasar Ekonomi Baharu (DEB) tidak perlu dilebur atau dibatalkan sedangkan tiada komitmen untuk melaksanakan langkah berkesan bagi membantu rakyat miskin yang majoritinya Melayu, kata Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua rakyat Malaysia perlu dilihat sebagai satu komuniti.

Ini kerana, menurutnya bukan sahaja Melayu, malah masih ramai kelompok kecil Cina, India dan di Sabah dan Sarawak hidup dalam kemiskinan.

“Maknanya, jangan kita meminta dilebur atau dibatalkan DEB, kemudian kita tidak berbuat apa-apa secara berkesan untuk membantu rakyat miskin atau terpinggir daripada pelbagai kaum dengan majoritinya, Melayu.” katanya memetik kenyataannya kepada media, di sini, kelmarin.

“Sesetengah orang suka mendengar kita bercakap mengenai pembatalan DEB, tetapi tiada komitmen tegas dalam dasar yang berkesan untuk membantu rakyat Malaysia miskin dan kelompok kecil India, Cina dan di Sabah serta Sarawak.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Simposium Ekonomi Malaysia “Ekonomi Malaysia: Kini dan Masa Hadapan” di Parlimen yang turut dihadiri Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Kerajaan, menurut Anwar, tidak akan mengubah Perlembagaan termasuk mengenai hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera tapi perlu ada tambahan dasar bagi melaksanakan dasar ekonomi yang mengambil kira keperluan rakyat secara menyeluruh.

“Kita bukan mahu mempersoalkan apa yang ada dalam Perlembagaan, termasuk keitismewaan dan kuota.

“Tetapi mahu tambahan dasar sebab persefahaman selepas 61 tahun kemerdekaan Malaysia, kita sedar semua rakyat iaitu Melayu, Cina, India dan Kadazan kena dilihat sebagai satu komuniti dengan kesaksamaan hak dan keistimewaan,” katanya lagi.

Anwar juga memberi jaminan bahawa Pakatan Harapan (PH) akan tetap meneruskan dasar mengangkat kedudukan orang Melayu dan Bumiputera di pedalaman.