Oleh Zurina Waji | Gambar Fauzi Hamid

Perjuangan… Intan Mustika atau Yuuki (kanan) bersama Harish dan Azfar

BICARANYA penuh bara walaupun dia yang mendedikasi hidupnya, mempertahankan kebaikan kanabis atau dikenali juga sebagai ganja dengan memperjuangkan hak menggunakan tumbuhan itu bagi tujuan perubatan, sering disalaherti.

Tapi insan bernama Intan Mustika Putri Mokhtar ini berkeras kerana katanya, perjuangan harus diteruskan.

Didiagnos dengan buah pinggang dan jantung yang lemah, kencing manis dan hypokalemia yang menyebabkannya mengalami kejang otot dan sering dalam kesakitan, 11 tahun lalu, dia hanya terbaring disebabkan ubat-ubatan hospital yang membuatnya tidak mampu bergerak.

Itu, sehinggalah dua tahun kemudiannya apabila seorang kawan menganjurkannya mencuba kanabis.

Kanabis yang diambil secara haram itu bukan saja membolehkannya berjalan, malah dia menjalani kehidupan normal selama lapan tahun ini. Perjuangan mengisi masa yang bersisa, agar satu hari nanti penggunaan kanabis sebagai ubat diizinkan di Malaysia dengan harapan tiada lagi pesakit menderita sepertinya.

“Yuuki. Panggil saya Kak Yuuki je,” katanya pada pertemuan ini, ketawa apabila ditanya perihal nama asalnya yang berbau Melayu klasik itu. Lantang meluah pandangan, dia mengejutkan dengan aura street smart dan gaya minah rockernya.

Intan Mustika atau Yuuki Setsuna, begitu dia memperkenalkan dirinya, menggerunkan lawan tapi juga menyenangkan.

Malaysian Society of Awareness (MASA) yang ditubuhkannya pada 2018 selepas bergerak menerusi beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dilihat simbolik perjuangannya untuk mendedahkan kebenaran mengenai kanabis.

Iaitu, seperti dikongsi di laman Facebook MASA, mengenai pengalaman ibu beranak dua ini merawat menggunakan kanabis membantu “rasa sakit badan hilang hampir serta merta dan otak serta tubuh masih berfungsi secara biasa, berbanding kesan penggunaan ubat.”

“Kanabis ni, kena lihat dengan cara yang betul,” kata Setiausaha MASA, T Harish Kumar yang menekankan mengenai usaha meningkatkan kesedaran terhadap potensi kanabis dibangunkan bagi tujuan perubatan.

“Kalau (kanabis) digunakan untuk tujuan rekreasi, sepatutnya tidak ada salahnya kerana ia lebih menyihatkan berbanding bahan yang ada di luar.”

“… konon-kononnya mereka ini adalah orang ahli politik, doktor perubatan tapi ingat, perubatan kanabis adalah suatu yang amat baharu. Ia tidak diajar pun di sekolah perubatan. Anda kena cari sendiri.”

Kata Harish, pendedahan menerusi pendidikan menjadi matlamat MASA, antaranya lewat ceramah-ceramah kerana masih ramai di Malaysia keliru mengenai kanabis. Dia menganggap tambah malang apabila kaedah perubatan berasaskan kanabis juga ditolak Kementerian Kesihatan (KKM) dan para doktor di Malaysia.

Kanabis, menurut MyHealth, portal rasmi  KMM, menghasilkan bahan kimia yang dikenali sebagai cannabinoids yang mengandungi tetrahydrocannabinol (THC), bahan psikoaktif yang menyumbang kepada kesan halusinasi kanabis. Kandungan lain termasuk cannabidiol (CBD) dan cannabinol (CBN).

Sebab itu, tegas Intan Mustika, pendekatan MASA tidak hanya tertumpu pada perubatan, tapi juga hak asasi kemanusiaan. Kesungguhannya bersebab, apatah lagi dia sendiri adalah testimoni kepada potensi kanabis terutama dalam kaedah perubatan.

“Walaupun orang-orang ini bercakap atas platform konon-kononnya mereka ini adalah orang ahli politik, doktor perubatan tapi ingat, perubatan kanabis adalah suatu yang amat baharu. Ia tidak diajar pun di sekolah perubatan. Anda kena cari sendiri.

“Jadi, apabila ada yang memberi idea bahawa THC adalah komponen yang tidak bagus, CBD adalah komponen yang bagus, anda akan mengelirukan pemikiran orang kerana ia berasal dari pokok yang sama, pokok kanabis. Pengklasifikasian harus betul,” katanya.

KAJIAN SAINTIFIK KANABIS MERAWAT KEMURUNGAN

Intan Mustika kesal berikutan banyak kes Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), misalnya menyebabkan seorang yang air kencingnya didapati mengandungi THC boleh ditahan seminggu di lokap.

“Soalan saya di sini kenapa mahu simpan seminggu dalam lokap tu? Sebab orang yang menggunakan THC, tahap ketagihannya tidak sama dengan ketagihan dadah-dadah jenis lain macam morfin, heroin. Anda tidak menggigil-gigil untuk mencari bekalan apabila ketagihan datang.

“… keluar daripada AADK itu, anda rasa dia ada kerja lagi tak? Dia dah tak ada kerja, dah kena buang dah. Mana mungkin dia beritahu majikannya dia berada di dalam lokap AADK. Seluruh reputasinya musnah.”

“Kita tidak ada ketagihan. Kita tidak ada kebergantungan itu kecuali kebergantungan emosi,” katanya, sambil menegaskan keadaan sebegitu boleh diperbetulkan, cukup dengan mendapatkan rawatan daripada kaunselor.

“Tidak seperti methamphetemine, tubuh manusia inginkan THC menyebabkan ia kekal lebih lama di dalam badan seseorang. Orang yang di bawah pengaruh THC, orang itu akan jadi pasif. Otomatik jadi pasif, nak bawa kereta, takut. Bangun dari kerusi pun takut, takut jatuh, Kononnya stone, itu perangai yang normal. Dia pasif.”

Intan Mustika menjelaskan lanjut: “Anda simpan dia seminggu, dia keluar daripada AADK itu, anda rasa dia ada kerja lagi tak? Dia dah tak ada kerja, dah kena buang dah. Mana mungkin dia beritahu majikannya dia berada di dalam lokap AADK. Seluruh reputasinya musnah.”

Isu itu, menurut Harish adalah antara yang dibangkitkan MASA, termasuk menerusi petisyen yang sudah mengumpulkan lebih 70,000 tanda tangan, sekaligus menunjukkan bahawa rakyat Malaysia mulai memahami perbezaan antara kanabis dan dadah selain daripadanya.

Hasil pembentangan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kajian mengenai aplikasi psikologikal THC dalam merawat isu kesihatan mental, katanya juga telah dipanjangkan ke pengetahuan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Zulkefly Ahmad baru ini, agar memberi perhatian dan sokongan terhadap kajian kanabis.

Jelasnya, kajian itu pada dasarnya mendapati THC boleh membantu masalah kemurungan yang merupakan fokus MASA kini berikutan keadaan itu yang dikesan dihidapi 4.8 juta orang, tahun lalu mungkin meningkat kepada 6 juta menjelang 2020 dan dijangka menjadi isu No.1 di masa depan.

Intan Mustika berharap perkembangan ini dapat membantu melepasi kekangan birokrasi yang menghalang kajian untuk menunjukkan ia selamat digunakan dalam lapangan perubatan dengan alasan “ganja adalah haram”, sekaligus menguatkan lagi sebab mengapa kanabis perlu dikeluarkan daripada senarai Jadual 1 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang melarang seseorang mengimport, menanam, memiliki, memindah atau menggunakannya.

“Kenapa (kajian) patut diselia di bawah kerajaan, supaya kita pasti dengan hasil itu dan tiada penyalahgunaan data,” katanya yang melihat pasaran luas terhadap ubat berasakan kanabis dan Malaysia tidak perlu menunggu pelabur luar untuk itu.

“Atau, kita (akan) mencipta generasi pengguna dan tidak mencipta generasi yang inovatif, kreatif yang boleh menyumbang kepada kerajaan sedangkan kita ada benda (keupayaan) itu… kertas kajian ada, orang muda yang betul-betul berminat dalam kajian kanabis.”

Apa yang dibimbangi, celah Harish, Malaysia ketinggalan 20 atau 30 tahun ke belakang sedangkan MASA yang bersama pakar seperti Dr Andrew Mahonraj, seorang pakar psikiatri utama di negara ini, tidak pernah menolak untuk bekerjasama dan berkongsi dapatan kajian, juga ilmu.

Harish

SUPPORT, DON’T PUNISH

MASA menyokong kempen“Support, Don’t Punish” (SDP) untuk memindahkan urusan, mentadbir dan menangkap penagih dadah, daripada polis kepada Kementerian Kesihatan yang dianggap bukan masalah undang-undang, sebaliknya masalah kesihatan.

Harish berkongsi fakta bahawa sehingga 56 peratus daripada lebih 60,000 penghuni penjara adalah penagih dadah. Daripada jumlah itu, hanya 4 peratus membabitkan pengguna kanabis, manakala baki pengguna opiod seperti candu dan kodin.

“Kita tak nak orang mati terlebih dos kerana tiada pengetahuan tentang apa yang dia pakai sebab kadang orang, kita tak boleh halang.”

Katanya, sekiranya masalah penyalahgunaan dadah ditakrifkan sebagai isu kesihatan akan membolehkan kerajaan jimat berjuta ringgit daripada kos pengurusan penjara dan perbelanjaan harian penghuni, antara RM35 hingga RM40 seorang.

Merujuk pelaksaan SDP di Amsterdam, misalnya beliau berkata dadah dibenar diedarkan tetapi oleh doktor bertauliah atau di farmasi dengan pengguna diberi pendidikan mengenai kesihatan dan kesan buruk akibat penggunaannya, menjadikan ia lebih terkawal.

Ia menjelaskan pentingnya pendidikan, kata Intan Mustika, merujuk kematian kerana terlebih dos akibat penggunaan dadah jalanan seperti campuran heroin yang dilaporkan berlaku di Barat, antaranya Amerika Syarikat.

“Kita tak nak epidemik macam itu datang ke Malaysia,” katanya. “Kita tak nak orang mati terlebih dos kerana tiada pengetahuan tentang apa yang dia pakai sebab kadang orang, kita tak boleh halang.”

Kempen anti dadah, misalnya walaupun memaparkan kesan buruk di pengakhirannya mungkin tidak berkesan terhadap anak muda yang biasanya akan melihat apa yang diambil untuk melegakan tekanan dan dicuba tanpa pengetahuan dan pengawasan yang menyebabkannya menjadi ketagih.

Intan Mustika pernah dipenjara beberapa minggu selepas dia dan suami ditahan polis bersama 20 gram tumbuhan kanabis kering. Suaminya hilang pekerjaan, malah mereka disisihkan keluarga dan kawan selain digelar penagih dadah.

Pada 2016, beliau empat beranak ditangkap ekoran penemuan hampas kanabis kurang daripada 15 gram di rumahnya menyebabkan anaknya dipenjara sebulan.

“Ini kenapa kita jumpa Datuk VK Liew (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Undang-Undang dan Hal Ehwal Parlimen) sebab kita nak ubah dasar undang-undang ke atas ganja,” katanya, dengan mewujudkan kategori neutraseutikal dan didaftarkan sebagai neutraseutikal iaitu produk natural dan boleh digunakan untuk kajian dan pesakit sepertimana di Thailand dan India yang terkenal dengan rawatan holistik dan Ayurveda.

Selain pasukan pengkaji THC yang disokong Profesor Aris Moklas daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), menurutnya MASA ada kertas kajian mengenai efek psikologikal THC terhadap otak dan tubuh fizikal.

“Kalau mereka mahu bagi peluang kepada NGO Malaysia, anak muda Malaysia jadi peneraju dalam bidang ini. Kajian itu sepatunya dijalankan di Malaysia oleh orang Malaysia,” katanya, menolak kehadiran syarikat farmaseutikal gergasi ke Malaysia dalam hal ini.

Beliau ingin agar MASA berkolaborasi dengan lain-lain NGO, doktor, masyarakat dan agensi kerajaan  supaya “ia pergi ke saluran yang betul, arah yang betul dan dengan pakar yang betul, sekaligus menolak tuduhan kami pesaing NGO kanabis lain.”

Pintanya kepada pihak yang menimbulkan persepsi negatif berhubung kanabis: “Tak usah menipu, cakap separuh-separuh. Kalau tak tahu macam mana nak mendidik? Macam mana nak terangkan, THC bagus, kolaborasilah dengan NGO.”

Intan Mustika berharap semua NGO berkenaan juga akan dibabitkan sama oleh kerajaan dalam usaha membangunkan kanabis lewat perubatan dan tidak membiarkan dikelirukan syarikat farmaseutikal luar.

“Proses penanaman ganja hem dan perubatan malah pengembangan biji benih, kita mesti ada sendiri punya biji benih. Baru kita boleh buat paten, baru boleh jual, baru boleh jadi kaya dengan kekayaan negara datang daripada situ, dengan mempatenkan ubat itu, biji benih itu.

“Bukan dengan ambil biji benih dari Kanada, misalnya, yang anda tanam dan apabila besar tanaman, dituai dan dibawa balik ke Kanada. Jadi apa faedahnya?”

Belasungkawa

Intan Mustika menghembuskan nafas terakhir di dalam tidurnya pada 4 Julai lalu selepas semua organnya gagal berfungsi. Allahyarham berusia 41 tahun. Ini adalah sebahagian daripada temubual bersamanya di pejabat MASA di Kota Damansara yang turut dihadiri Harish dan Bendahari, Azfar Hanif. Takziah daripada Malaysia Good News buat keluarga beliau dan warga MASA. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Aamiin.