Oleh Malaysia Good News

SEPANG: “Saya reka dengan matlamat sebaik sahaja orang melihatnya, mereka akan tahu ia adalah Malaysia,” kata Alfred Phua Hong Fook, pereka grafik muda yang memenangi pertandingan mencipta logo kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020.

Rekaan itu, menampilkan ikon Malaysia seperti burung kenyalang dan paku pakis liar selain bunga raya iaitu bunga kebangsaan negara ini, dipilih antara ratusan penyertaan menerusi satu pertandingan terbuka, awal tahun ini.

“Sudah tentu, untuk menerima hadiah daripada Perdana Menteri adalah satu penghormatan,” katanya, jelas gembira dan bersyukur kerana dengan kemenangan itu bermakna rekaannya juga akan digunakan dalam usaha pemasaran dan promosi kempen TMM2020.

Logo berkenaan dipertontonkan buat kali pertama, kelmarin, dalam satu majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di sini, dengan disaksikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Phua yang juga graduan INTI Centre of Art & Design di Subang Jaya ini memberitahu, rekaan berkenaan merupakan cantuman beberapa idea selepas dia membayangkan apa yang terbaik mewakil inilai-nilai dan identiti Malaysia.

@chedetofficial

Bunga raya merah di dalam rekaannya, menurut Phua, adalah sebagai perlambangan keraian pelbagai kebudayaan yang cukup sinonim dengan Malaysia, manakala kekayaan alamnya dengan fauna dan eco-kembara diperlihatkan menerusi burung kenyalang.

Unsur alam terus menjadi pilihan pereka berusia 23 tahun ini dengan rekaan paku pakis liar sebagai undangan kepada dunia untuk menikmati keunikan kulinari Malaysia yang dipengaruhi kaumnya yang pelbagai.

Rekaan yang mengambil masa 10 hari untuk disiapkan ini, disempurnakan dengan suntikan patriotisme dalam tona yang berasaskan warna bendera Jalur Gemilang, sekaligus memberi makna mendalam dan selayaknya dinobat pemenang.

Dr Mahathir, sebelum itu turut melancarkan logo khas pada pesawat, membabitkan empat syarikat penerbangan utama negara iaitu Malaysia Airlines (MAS), AirAsia, Firefly dan Malindo Air di Kompleks Bunga Raya, di sini.

Sebuah memorandum persefahaman (MoU) promosi bersama juga dimeterai antara Tourism Malaysia dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Sharp Electronics Sdn Bhd, selaian empat syarikat penerbangan tempatan tadi.

@MAS

Perdana Menteri, dalam ucapannya, antara lain menyeru supaya industri pelancongan bergerak seiring transformasi digital dengan memanfaatkan dunia media sosial sebagai platform dalam memperluas pemasaran digital.

Dalam kenyataannya kepada media, beliau menyarankan agar kempen ini dijadikan sebagai misi peringkat nasional yang memerlukan sokongan rakyat secara keseluruhan, sekaligus memastikan TMM2020 menjadi satu kejayaan.

“Tahun lalu, Malaysia berada di kedudukan 21 antara negara yang mempunyai pendapatan pelancongan yang tinggi dengan memperolehi RM84.1 bilion seperti diumumkan Organisasi Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) yang disiarkan dalam Laporan Barometer, Mei lalu,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan akan menyokong usaha seumpama ini secara berterusan bagi memastikan TMM2020 dapat mencapai sasarannya dengan kedatangan 30 juta pelancong antarabangsa yang dijangka mencatat pendapatan pelancongan sebanyak RM100 bilion.