Oleh Malaysia Good News

KUALA LUMPUR: Negara yang menjadi tuan rumah kepada pelarian disaran mencontohi langkah Malaysia yang membantu membaiki kehidupan masyarakat Rohingya seperti dalam menyediakan pendidikan dan kemahiran asas.

Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Situasi Hak Asasi Manusia di Mynamar, Profesor Yanghee Lee, berkata usaha Malaysia itu juga harus dipuji dalam memastikan pelarian Rohingya ini tidak menjadi generasi ketinggalan.

Malaysia juga, menurutnya disifatkan sebagai tempat selamat bagi pelarian ini.

“Sebahagian besar kanak-kanak Rohingya dinafikan untuk menerima pendidikan asas di Mynmar.

“Saya mencadangkan kepada negara lain yang menjadi tuan rumah kepada pelarian untuk mencontohi langkah Malaysia,” katanya, memetik kenyataannya kepada media, di sini, selepas menamatkan lawatannya pada Khamis.

Beliau, sebelum itu menziarahi Pusat Pembelajaran Alternatif di sini, dalam lawatannya yang bermula Selasa lalu untuk bertemu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; pelarian dan kumpulan masyarakat Myanmar.

Pusat itu menyediakan pendidikan dan kemahiran asas kepada kanak-kanak Rohingya.

Gambar fb @drwawi

Lee, pada kunjungannya, turut meluangkan masa bertemu dengan pelarian daripada pelbagai daerah di Mynamar termasuk Rakhine, Yangon, Chin, Kayin, Shan dan Kachin States yang sudah lebih 10 tahun berada di Malaysia.

Pelarian berkenaan, menurutnya turut menyatakan keinginan untuk mendapatkan akses lebih mudah kepada kesihatan, pendidikan dan peluang pekerjaan dan hasrat itu telah disampaikannya kepada Kerajaan Malaysia dalam pertemuan dengan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, kunjungannya ke Malaysia dan Thailand, sebelum ini, mendedahkan bagaimana situasi hak asasi manusia di Myanmar menjadi pencetus kepada isu serantau serius di Asia Tenggara yang mendorong keujudan 1.5 juta pelarian Mynamar di Bangladesh, India, Indonesia dan Thailand, selain Malaysia.

“Masalahnya, Myanmar merupakan negara yang mempunyai ramai pelarian dan ia bukanlah perkara baharu. Ada (pelarian) yang baru tiba dan semakin ramai datang ke sini,” katanya.