Oleh Malaysia Good News

JOHOR BAHRU: Pusat Kanser baharu bermilai RM25 juta di Hospital Gleneagles Medini Johor, di sini, menawarkan perkhidmatan kepakaran dan sokongan kanser dengan sistem radioterapi paling canggih di rantau ini.

Dilancarkan akhir bulan lalu, ia menyediakan rawatan kanser yang komprehensif, termasuk kemoterapi, terapi hormon, imunoterapi dan terapi biologi sasaran, dikendalikan pasukan multi disiplin, daripada jururawat, perunding pakar perubatan serta pakar paramedik berpengalaman dan berkemahiran tinggi.

Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal, dalam majlis pelancarannya sebelum ini, berkata perkhidmatan onkologi lanjutan yang ditawarkan oleh Hospital Gleneagles Medini Johor ini dilihat dapat membantu meningkatkan lagi ekonomi negeri.

“Ini kerana, lokasinya di Johor yang merupakan pintu masuk yang ideal kepada pelancong daripada negara-negara jiran kami, iaitu Singapura dan Indonesia yang menjadikan kedudukannya strategik,” katanya, memetik kenyataannya menerusi satu siaran media.

Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) sebelum ini, menyebut perkhidmatan penjagaan kesihatan di Malaysia mendapat tempat tertinggi di kalangan pelancong penjagaan kesihatan global kerana menawarkan perkhidmatan mampu milik di dunia, selain mutu dan penjagaan yang tiada bandingan. Pada 2018, seramai 1.2 juta pelancong penjagaan kesihatan global didapati menerima rawatan penjagaan kesihatan di Malaysia, di mana onkologi merupakan antara rawatan paling popular.

Hospital Gleneagles Medini Johor, dalam satu kenyataan medianya, berkata pusat rawatannya dilengkapi Radioterapi Elekta Sinergi terkini dengan sistem C-RAD yang menawarkan Terapi Radiasi Konformal 3-Dimensi (3DRT), Radiasi Termodulasi Intensiti (IMRT) dan Terapi Arc Volumetrik (VMAT) atau Rapid Arc.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jean-Francois Naa, dipetik berkata hospital ini telah “mengorak langkah menjadi penyedia penjagaan kesihatan terkemuka di rantau ini yang memberikan pengalaman dan hasil klinikal terbaik bagi pesakit.”

Kenyataan media itu, antara lain turut menjelaskan bagaimana teknologi inovasi canggih itu menjadikan rawatan lebih tepat, jitu dan pantas dengan dos radiasi lebih rendah yang membolehkan pesakit meneruskan rutin harian dengan cepat, di samping mempertingkatkan mutu kehidupan pesakit secara keseluruhannya.

Pusat Kanser itu juga merupakan penambah nilai kepada pelaburan RM400 juta terhadap hospital berkenaan sejak ia mula beroperasi pada 2015, bagi menyokong usaha memperkukuhkan kedudukannya sebagai hospital swasta terkemuka di rantau ini.

Untuk info lanjut mengenai Pusat Kanser ini, sila layari gleneaglesmedini.com.my