Oleh Malaysia Good News


@pandelela

KUALA LUMPUR: Sah! Pasangan atlet terjun negara, Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee akhirnya berjaya meraih peluang untuk mempamerkan persembahan terbaik pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, kelak.

Ini berikutan kejayaan mereka pada Kejohanan Terjun Dunia FINA ke-18 di Gwangju, Korea Selatan, semalam selepas meraih pingat perak menerusi acara 10 meter platform seirama.

Pada kejohanan itu, Pandelela-Mun Yee berjaya mengumpul 312.72 mata bagi menamatkan saingan di tempat kedua, di belakang atlet China, Lu Wei-Zhang Jiaqi yang meraih emas selepas mengutip 345.24 mata. Manakala pingat gangsa diperolehi pasangan Amerika Syarikat, Samantha Bromberg-Katrina Young yang meraih 304.86 mata.

Pandelela, menerusi catatan di akaun Instagramnya, menyatakan rasa syukurnya kerana berjaya mendapatkan tempat ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang merupakan gelanggang pertemuan atlet terbaik dunia.

“Sepuluh tahun lalu kami berjaya memenangi gangsa dan kali ini kami berjaya memenangi perak,” katanya, menerusi perkongsiannya. “Syukur kepada Tuhan di atas kejayaan dan terima kasih kepada semua yang sentiasa memberi sokongan.”

Beliau turut menyampaikan penghargaannya kepada Mun Yee kerana mempamerkan aksi terbaik dan mempercayai hubungan mereka.

Ini merupakan gandingan ketiga buat Pandelel-Mun Yee yang berjaya menghadiahkan pingat buat skuad terjun negara pada kejohanan dunia. Pasangan ini pernah merangkul pingat gangsa pada edisi 2009 di Rom, diikuti 2013 di Barcelona.