Oleh Malaysia Good News

MELAKA: Nama disenarai dalam rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) bukan halangan bagi peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) buat pinjaman bank untuk beli rumah pertama.

Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zalyani Mohamad Zahid, berkata ini kerana, CCRIS adalah sistem pemakluman mengenai pembayaran balik pinjaman, bukannya untuk menyenarai hitam pemohon.

Beliau menegaskan peranan CCRIS adalah sebagai rujukan bank atau institusi kewangan untuk membuat penilaian terhadap satu-satu permohonan.

“Kita di pihak Bank Negara Malaysia akan berbincang dengan PTPTN dan pihak berkaitan mengenai perkara ini.

“Cuma, saya perlu tekankan CCRIS merupakan sistem yang mana pihak bank perlu melaporkan pinjaman tertunggak peminjam, bukannya mekanisme bagi menyenarai hitam mereka,” katanya, memetik kenyataannya kepada media, selepas sidang akhbar Seminar dan Sesi Klinik Keewangan Perusahaan Kecil dan Sederhana di sini, kelmarin.

Adnan Zalyani berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mengenai peminjam PTPTN yang disenarai hitam dalam rekod CCRIS akan dikecualikan daripada sekatan bagi membeli rumah pertama.

Begitu pun, jelasnya terpulang kepada bank atau institusi kewangan membuat keputusan.

“Kalau ada sebarang pinjaman baharu yang perlu dibuat, ia adalah berdasarkan budi bicara bank itu sendiri,  sama ada mahu meluluskan permohonan pinjaman atau tidak,” katanya lagi.