Oleh Malaysia Good News

PUTRAJAYA: Tempoh bagi pemandu e-hailing mendapatkan Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) yang berakhir semalam, dilanjutkan tiga bulan lagi bagi membolehkan mereka membuat permohonan sambil terus beroperasi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata keputusan itu didorong faktor, antaranya bagi mengelak masalah kepada penumpang jika perkhidmatan lumpuh berikutan permohonan saat akhir bagi PSV dan E-Hailing (eVP) oleh ramai pemandu e-hailing.

Kerajaan, menurutnya mengambil pendekatan praktikal itu, selaras dengan keputusan yang dipersetujui Jemaah Menteri menerusi satu mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam.

“Lihat saja dalam tempoh seminggu terakhir ini, beribu-ribu pemandu mengambil PSV. Kita juga tidak mahu berlakunya masalah dalam kalangan penumpang kerana ketiadaan perkhidmatan ini.

“Apabila melakukan saat akhir, sudah pasti proses akan menjadi lambat sedangkan kita sudah nasihatkan sejak berbulan-bulan lalu,” katanya, memetik kenyataannya kepada media, pada sidang akhbar di pejabatnya di sini.

fb @lokesiewfook

Kementerian Pengangkutan pada Julai tahun lalu, memberi moratorium selama setahun kepada syarikat e-hailing untuk membuat persiapan, terutama bagi memberi masa kepada mereka terbabit memohon perniagaan pengantara, lesen memandu vokasional, pendaftaran kenderaan dan membeli insurans tambahan, sebelum dikuatkankuasakan sepenuhnya, semalam.

Loke berkata, sehingga kini sebanyak 17,569 eVP, iaitu 4,216 teksi dan 13,380 kenderaan persendirian sudah dikeluarkan.

Jumlah itu, katanya dijangka meningkat berikutan 31,731 calon sudah mendaftar untuk kursus dan ujian PSV di 226 institut memandu di seluruh negara, di mana daripada jumlah itu seramai 25,248 calon sudah melengkapkan kursus, manakala bakinya lulus ujian PSV.

Sehubungan itu, jelasnya pemandu e-hailing yang masih belum mengemukakan permohonan supaya tidak melakukannya di saat akhir.

Selama tempoh lanjutan tiga bulan ini juga, beliau berkata pihaknya melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil mengambil pendekatan penguatkuasaan, mendidik secara berperingkat bagi memberi kesedaran terhadap pemandu e-hailing yang masih belum memenuhi syarat ditetapkan.

“Sepanjang tempoh tiga bulan bermula hari ini, mana-mana pemandu yang memandu tanpa lesen PSV atau memandu kenderaan yang tidak mematuhi syarat kenderaan akan diberi nasihat, pendidikan dan amaran akhir supaya melengkapkan semua peraturan ditetapkan,” katanya lagi.