Oleh Malaysia Good News

fb @TunDrMahathir

PUTRAJAYA, 11 Julai: Biarpun bagi seorang Perdana Menteri seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, masih ada beberapa perkara yang mampu memberi kejutan manis kepadanya, di keraian ulang tahunnya yang ke-94 misalnya.

“Saya amat terharu dengan ramainya ucapan selamat hari lahir saya pada 10 haribulan Julai, tahun ini,” katanya, dalam ucapan yang dikongsi menerusi Facebook Dr Mahathir bin Mohamad, petang semalam. “Saya tidak sangka mereka akan mengadakan reaksi yang begitu positif.”

Beliau mengakui berasa gembira dengan ucapan tidak putus-putus yang diterima daripada rakyat Malaysia, malah turut mendoakan agar mereka semua turut dipanjangkan umur dan berjaya dalam apa jua perkara yang dilakukan.

Perkongsian yang memuatkan beberapa petikan klip, termasuk daripada pelajar sekolah, anggota keselamatan dan selebriti seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Khatijah Ibrahim itu sehingga hari ini, mendapat tanda Suka daripada lebih 15,000 pelayar dan mencecah lebih 124,000 tontonan serta 2,300 ulasan.

Klip berkenaan juga memuatkan ucapan daripada isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, yang mendoakan supaya pemimpin yang disenarai antara individu berpengaruh dunia itu, “dikurniakan kesihatan yang unggul dan dipanjangkan usia, dikuatkan tenaga.”

Cukup manis, apabila Dr Siti Hasmah dengan nada sebak, juga memberitahu bahawa pemimpin itu “akan sentiasa mendapat kasih sayangnya selama-lamanya.”

Dr Mahathir, menerusi kapsyen yang mengiringi video berkenaan, menukilkan mengenai satu-satunya permintaannya di hari ulang tahunnya ini, ialah “supaya saya dapat melaksanakan tugas saya untuk memulihkan Malaysia.”

Begitu pun, baginya masih diberi kepercayaan pada usia sebegini adalah “satu kelebihan dan penghormatan untuk berkhidmat kepada negara ini.”

Dirakam memotong kek, dipercayai di pejabatnya, beliau juga sempat berseloroh: “Patutnya saya tak bekerjalah, hari ini.”

Warganet, sehingga tadi, masih memberikan reaksi terhadap perkongsian itu, antaranya pemegang akaun Aqqwa M Sharif yang turut melahirkan penghargaannya kepada Perdana Menteri itu yang tidak pernah berhenti berusaha memimpin Malaysia untuk menjadi lebih baik.

Cecilia Csc pula, turut menyampaikan rasa terima kasih kepada “Tun M yang membina semula reputasi Malaysia di mata dunia.” Beliau juga menukilkan rasa bangga “kerana mendapat anda sebagai Perdana Menteri, bukan sekali tapi dua kali.”

Dr Mahathir, tulisnya lagi, turut “menginspirasi kami untuk mencapai lebih tinggi, bekerja lebih keras, melakukan yang terbaik dalam apa jua keadaan. Berani kerana benar. Itu yang kami belajar juga.”

Juga menarik, ulasan daripada Nur Shafaati Yunus, dipercayai seorang pendidik, yang menulis, “Semoga Allah permudahkan urusan buat Tun dalam memimpin Malaysia ke arah yang lebih maju, aman damai. Seronok mengajar sejarah Malaysia sebab banyak idea nak dikongsi degan pelajar tentang jatuh bangun Malaysia dari dulu sampailah sekarang.”