Oleh Malaysia Good News

PERKATAAN mandatori digugurkan dalam keputusan membabitkan kes penyalahgunaan dadah, namun kerajaan mengekalkan pilihan di tangan hakim, sama ada menjatuhkan hukuman mati atau penjara, tetapi tidak kurang daripada 10 tahun.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata kerajaan perlu mengambil pendirian tegas untuk mengenakan hukuman berat bagi kes dadah berikutan masalah jenayah di negara ini yang semakin membimbangkan.

Selama ini, menurutnya mengikut undang-undang sedia ada, apabila seseorang didapati mengguna atau membawa dadah dalam jumlah yang banyak, mereka akan dikenakan hukuman mati mandatori.

“Hukuman mati mandatori, iaitu kuasa hakim kita ketepikan (dalam kes pengedaran dadah), bahkan undang-undang menidakkan hak hakim untuk menyatakan hukumannya.

“Kita hapuskan perkataan mandatori namun kita kekalkan bahawa hakim boleh membuat pilihan sama ada hendak kenakan hukuman mati atau penjara, tetapi tidak boleh kurang daripada 10 tahun,” katanya, memetik kenyataannya kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Putrajaya, semalam.

Sehingga tahun lalu, ada seramai 1,267 banduan berdepan hukuman mati di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952, namun hukuman itu tidak dilaksanakan sejak 2014.

Hukuman berat, kata Dr Mahathir, tetap perlu dikenakan memandangkan jenayah dadah adalah suatu perkara yang serius.

“Untuk itu, kita mengambil pendirian tegas (untuk mengenakan hukuman berat) walaupun kita didesak supaya menggugurkan perkataan mati mandatori,” tambahnya.