Oleh Zurina Waji | Gambar Fauzi Hamid

BICARANYA lembut, malah tidak lokek dengan senyuman. Pantaslah mengapa Kapten (B) Datuk Dr Zulkafperi Hanapi sering disebut orang, tambahan dia bukan asing dalam dunia perubatan, di mana pakar estetik ini mengabadikan diri selama 34 tahun.

Bakal meraikan ulang tahun ke-60, Ogos ini, penampilannya bagaimanapun tidak memperlihatkannya begitu.

Jet lag? Pun seolah tidak bersisa, sedangkan baru sejam dia kembali dari Padang di Sumatera, Indonesia dan terus bergegas untuk pertemuan kami.

Ditanya, dia yang juga pengasas rangkaian Kumpulan Klinik Keluarga dan Surgeri, mendedahkan rahsia pencapaiannya ialah sentiasa mensyukuri kurniaan Ilahi namun tegasnya, bukan sedikit pula liku yang harus ditempuhi.

Dibesarkan ayah di sebuah kampung terpencil di Raub, Pahang akibat perceraian, dia berjauh hati dengan ibunya. Dia tertekan, ditambah kemiskinan hidup apabila ayah, bekas anggota polis, terpaksa bekerja kampung selepas tulang belakangnya terjejas kerana terjatuh.

“Kais pagi makan pagi. Abah membesarkan saya dan kakak yang dua tahun lebih tua. Tanpa mak, saya tertekan dan mula memberontak, enggan ke sekolah. Percaya tak, semasa Darjah 1 hingga 4, saya ke sekolah sekali setahun saja? Abah bawa ke sekolah naik basikal.

“Semasa di Darjah 4, saya mengikuti abah yang mendapat kerja di Felda Jerantut. Kami tinggal di kongsi, tapi saya mula bersekolah. Selepas enam bulan, kami kembali ke kampung dan saya belajar di Sekolah Kebangsaan Dong,” katanya.

Sambil menggeleng kepala, ada nada gelihati apabila Dr Zulkafperi menyambung: “Pada peperiksaan Penilaian Darjah 5, saya dapat 5E.”

Keputusan buruk peperiksaan, kini diganti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), membuatnya tersentak.

“Ia menyedarkan saya. Didorong Guru Besar, budak tercorot ini jadi pelajar terbaik. Di Sekolah Menengah Dong, Raub, saya Pelajar Terbaik Sijil Rendah Pelajaran selepas dapat  8A dan ditawarkan ke Sekolah Menengah Sains Pahang, Kuantan.

“Abah miskin, tapi syukur Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menyumbang RM500, dapat beli keperluan. Saya diberi biasiswa dan beroleh Pangkat 1 pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Saya diterima ke Universiti Kebangsaan Malaysia dan pada 1985, saya beroleh ijazah dalam bidang perubatan,” katanya.

“Dia bercakap mengenai keluarga, pasal hidup orang kampung, orang Melayu yang susah. Hanya melalui pelajaran,  kata Cikgu Mohd Zain, kita boleh ubah cara hidup dan keluarga.”

Ditanya adakah memang impiannya untuk bergelar doktor, dia ketawa, menjawab: “Tiada pilihan lain.” Dia kemudian mengakui, “Ikut arus. Saya memang tiada perancangan, tiada cita-cita. Saat mengenangkan abah, harapan orang kampung, saya agak tertekan tapi saya tahu, saya kena jadi doktor.

“Saya beritahu diri, tak mahu terkandas. Buku perubatan banyak dalam Bahasa Inggeris dan pensyarah pula, antaranya daripada Arab dan United Kingdom. Jadi, malam belajar Bahasa Inggeris di British Council dan untuk yuran pengajian, saya kerja sambilan sebagai pelayan hotel, bekerja 10 jam sehari dengan upah RM2 sejam.”

Dr Zulkafperi bapanya adalah yang terbaik, tidak lelah mendorongnya belajar dan sentiasa berpesan supaya dia membaiki diri serta menjadi anak yang baik.

“Saya enggan ke sekolah, tidak pernah dia memukul. ‘Zul, pergi sekolah’, tanpa bosan dia memujuk. Abah meninggal dunia pada tahun ketiga saya bergelar doktor tapi saya tahu, dia amat berbangga dengan anaknya ini,” katanya yang dua tahun menjadi  Pegawai Perubatan Regimen di Kementerian Pertahanan sehingga 1990, sebelum ke Hospital Besar Kuala Lumpur.

Buat seorang insan yang dikenali sebagai Cikgu Mohd Zain Dilu, dia juga menzahirkan penghormatannya.

“Kata-kata Cikgu menyedarkan saya, membuka minda saya. Biar asalnya pelajar paling corot, biar dengan keputusan 5E dulu, dia tetap memberi semangat. Dia bercakap mengenai keluarga, pasal hidup orang kampung, orang Melayu yang susah.

“Hanya melalui pelajaran,  kata Cikgu Mohd Zain, kita boleh ubah cara hidup dan keluarga. Sudah 20 tahun Guru Besar itu meninggal dunia, namun kata-katanya masih terngiang-ngiang di telinga. Saya betul-betul mengaguminya,” katanya.

Permaisuri hati… Dr Zulkafperi bersama isteri, Datin Azlinda

KASIH IBU MEMBAWA KE SYURGA

PADA Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Dr Zulkafperi dicalon oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bagi menentang Tan Sri Noh Omar di Parlimen Tanjong Karang. Biarpun tewas, dia terus berkhidmat sebagai Bendahari Pakatan Harapan (PH) Tanjong Karang dan Ketua Penerangan Bersatu Bahagian Tanjong Karang.

Tapi, kenapa politik dengan sandiwaranya yang boleh memakan tuan, sedangkan dunia perubatan sudah memberikannya penghormatan yang membuatnya dicemburui?

“Kata orang, kalau mahu masuk politik, hati kena kering. Kena jadi jahat tapi itu tidak serasi dengan saya.  Ada juga yang kata, jangan jujur sangat kalau menegur sebab nanti memakan diri. Saya tak setuju, saya cakap apa saya rasa, sehingga terfikir mungkin politik bukan untuk orang macam saya.”

“Saya sedar, menguruskan klinik saja tidak mencukupi,” katanya, mengakui didorong keinginan untuk menjangkau hubungan sekadar antara doktor dan pesakit. “Seandainya dapat keluar daripada kepayahan hidup, hargailah nikmat Tuhan itu dengan memberi baik kepada masyarakat.

“Bersama Umno, seawal 1995, politik jadi platform yang memenuhi keinginan saya untuk meluaskan sumbangan kepada masyarakat, terutama membantu orang Melayu. Tapi saya mula menjauhi politik apabila Datuk Seri Najib Razak yang bakal menjadi Perdana Menteri, ketika itu, diburu isu pembunuhan Altantuya.

“Kata orang, kalau mahu masuk politik, hati kena kering. Kena jadi jahat tapi itu tidak serasi dengan saya.  Ada juga yang kata, jangan jujur sangat kalau menegur sebab nanti memakan diri. Saya tak setuju, saya cakap apa saya rasa sehingga terfikir, mungkin politik bukan untuk orang macam saya.”

Dia menyepikan diri, namun katanya ”politik menjejakinya.” Bersatu sesuai dengan prinsipnya dan kerana itu, dia menyertai parti itu untuk bersama kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Pasti,  bukan hanya percikan auranya yang melorongkan jalan sehingga dicalon bertanding pada PRU14 lalu.

“Orang kata, politik itu kotor tapi saya tidak berapa setuju. Niat baik mesti ada. Jika ada rezeki, Alhamdulillah. Saya tidak perlu duit untuk politik kerana rasanya, saya sudah cukup. Jika kotor pun, ini kerana orang yang buat politik itu kotor.”

Dr Zulkafperi berkata, pendiriannya dipengaruhi sikap yang diwarisi daripada kedua orang tuanya.

“Saya mewarisi sifat lemah lembut abah yang penyabar, tidak mudah marah dan penyayang. Tapi kalau bekerja, saya seperti mak yang tegas dan seorang yang mengingini kesempurnaan,” katanya yang gembira menerima ibunya di dalam hidupnya.

Dia mengimbau pertemuan pertama itu dan berkata: “Semasa belajar di Sekolah Sains, abah balik ke kampung dan itulah kali pertama saya berjumpa mak.  Dia menangis, memeluk dan mencium saya, mungkin melepas rindu dan saya ingin sekali meneriaknya mak tapi kerongkong saya seolah tersekat.”

Bekerja di kilang kicap di Johor, memikul guni garam, selain pernah bekerja di kilang mozek sementara menanti keputusan SPM mendekatkannya kepada ibunya yang tinggal di Kluang, ketika itu. Di tahun pertama dia menjalani latihan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, ibunya dilaporkan menghidap barah payudara.

Kadang sedih, memikirkan kedua bapanya tidak dapat melihat kejayaannya, kehadiran Datin Azlinda Mohamad Katas, 54, yang menjadi permaisuri hatinya bersama empat anak mereka nyata menjadi kekuatannya.

“Saya melalui hidup yang sukar, namun ia membuatkan saya terfikir untuk memajukan diri. Keinginan untuk berjaya cukup kuat dan saya berusaha keras untuk lulus dalam perubatan , apatah lagi kerana menyedari saya turut membawa harapan abah, harapan orang kampung.

“Semasa bekerja kilang, sengaja saya menyembunyikan saya pelajar terbaik kerana takut orang tak mahu berkawan. Semasa bekerja hotel di Kuala Lumpur, tiada siapa pun tahu saya pelajar perubatan. Saya bercampur dengan orang bawahan, orang biasa dan ia membantu membina karekter saya.

“Masuk politik, saya tak kekok bersama masyarakat dan ia memastikan saya berpijak di bumi yang nyata,” katanya yang percaya doa orang tua sentiasa menjadi penyuluh yang mengiringi kejayaannya, sekaligus mengawasinya jangan tersasar daripada landasan kebenaran.