Oleh Malaysia Good News

PETINJU profesional, Farkhan Haron muncul petinju pertama Malaysia berjaya merebut tali pinggang WBA Selatan Asia kategori cruiseweight dalam satu perlawanan yang berlangsung di Bone Night Club di Pattaya, Thailand, kelmarin.

Farkhan, 31, diumumkan menang selepas menumbangkan petinju Indonesia, Alexander Bajawa dengan pukulan knockout pada pusingan ketig, sekaligus mencatat 10 rekod kemenangan tanpa kalah sejak bermain secara profesional pada 2015.

Anak jati Johor Bahru ini yang memenangi pingat emas pada Sukan SEA Laos, percaya karier profesionalnya berada di laluan yang betul.

Dia yang disambut media sebaik tiba di tanahair, malam tadi, mengimbau detik kemenangannya itu apabila berjaya melepaskan satu tumbukan padu pada bahagian dagu Alexander yang menyebabkan pesaingnya itu rebah dan tidak mampu bangkit lagi.

“Saya menang dengan satu tumbukan padu di dagu (lawan),” katanya. “Saya bangga kerana menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi gelaran ini. Ini bagaimanapun, bagi saya hanyalah satu permulaan dan ada banyak lagi yang menanti selepas ini.”

fb @MuhamadFarkhanMohdHaronClub

Farkhan yang menguasai perlawanan pada pusingan pertama dan kedua, memberitahu dia bagaimanapun cuba memperlahankan permainan pada pusingan berikutnya.

“Saya cuba memperlahankan rentak, momentum… gerakan saya. Begitu pun, pesaing mula bertindak agresif, dia banyak masuk (menyerang) dan bagi saya, sama ada anda melakukannya (membalas serangan) atau mati.”

Beliau berpendapat perlu bertindak agresif apabila pihak lawan sudah mula agresif.    “Sukan tinju sangat bahaya kerana walaupun sesaat kita alpa, kita boleh dikalahkan,” katanya lagi.