Oleh Malaysia Good News

CADANGAN bagi mengambil pekerja asing dari Afrika untuk menampung keperluan di sektor perladangan, terutama membabitkan kelapa sawit tidak akan diteruskan, menurut Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran.

Beliau, dalam satu kenyataannya, semalam mengesahkan mengenai penarikan balik cadangan yang mendapat bantahan ramai itu.

Ini terutama selepas kenyataan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung perkara itu yang masih di peringkat cadangan dan belum dimuktamadkan, selain perlu mengambil kira rakyat Malaysia sendiri yang masih ramai.

Kulasegaran yang menyifatkan kenyataannya itu yang disifatkan dilapor di luar konteks dan disalah tafsir, berkata idea mengenai keperluan kerajaan melihat ke arah Afrika sebenarnya ditimbulkan selepas aduan masalah pekerja oleh pemilik ladang dalam satu sesi dialog di Cameron Highlands, Jumaat lalu.

Katanya, ia susulan rungutan peladang yang mendakwa menanggung kerugian kira-kira RM10 bilion setahun apabila buah sawit tidak dapat dituai kerana pekerja dari Indonesia, Bangladesh dan Myanmar dikatakan tidak lagi berminat bekerja di ladang sawit.

“Bagi menampung kekurangan buruh, pemilik ladang meminta agar kerajaan menimbang untuk mengambil pekerja dari Afrika, terutama dari negara di mana Malaysia mempunyai pelaburan dalam sektor gas asli dan petroleum.

“Dalam konteks inilah, saya menimbulkan idea bahawa kerajaan mungkin perlu melihat ke arah Afrika untuk menampung kekurangan tenaga kerja ladang di Malaysia,” katanya.

Dr Mahathir, dalam kenyataannya sebelum ini, dipetik berkata: “Kita belum buat apa-apa pemilihan pun setakat ini. Hanya cadangan kerana saya berpendapat orang di Malaysia ramai, jadi tak payahlah bawa masuk warga asing.”