Oleh Malaysia Good News

KEJOHANAN dunia seni bela diri campuran di Bahrain, bermula 9 November ini yang bakal disertai atlet, Colleen Augustine diharap menjulang namanya sebagai juara pertama Malaysia yang meraih gelaran juara dunia.

Presiden Persatuan MMA Malaysia (MASMMAA), Rashid Salleh melahirkan harapannya itu kepada Colleen yang disifatkan mempunyai potensi besar untuk menjulang kejuaraan di Manama yang dijadual berlangsung selama lapan hari itu.

Beliau, malah meramalkan atlet berkenaan sebagai Nicol David yang seterusnya dalam sukan MMA.

Datuk Nicol Ann David adalah pemain skuasy professional yang pernah menduduki ranking No.1 dunia dalam sukan berkenaan yang kali pertama diraihnya pada Januari 2006. Beliau mengumumkan persaraannya pada Februari lalu selepas 20 tahun bermain secara professional.

“Saya berharap pada November ini, apabila Colleen menang, kita akan lihat juara dunia. Dia sangat bagus. Saya berani katakana dia adalah Nicol David yang seterusnya untuk sukan MMA.

“Dia memang berdisiplin, ada pakej, berdedikasi, sentiasa belajar daripada kesilapan dan dia berlatih setiap hari. Dia juga seorang vegan,” katanya semasa menghadiri acara Malam Media ONE Championship di Kuala Lumpur, baru ini.

Mei lalu, Colleen, 21, meraih pingat emas dalam Kejohanan Terbuka Asia di Bangkok, Thailand selepas menewaskan Nurzhamal Sadukova dari Kazakhstan pada pertemuan divisyen strawweight. Dia menang menerusi TKO (technical knockout) pada pusingan kedua.

Kemenangan itu menjadikan Colleen atlet wanita pertama Malaysia memenangi pingat emas dalam kejohanan bertaraf antarabangsa anjuran IMMAF-WMMAA itu.

@colleen.augustine

Rashid berkata, buat masa ini, dana sedang dikumpul bagi membolehkan Colleen menyertai kejohanan berkenaan.

Colleen dan jurulatihnya, menurutnya masih memerlukan AS$3,000 atau kira-kira RM12,420. Dana yang sedang dikumpul menerusi laman sesawang GoGetFunding.com itu setakat ini, baru mencecah kira-kira AS$1,000 (RM4,140).

“Bukan hendak meletakkan sebarang tekanan tetapi potensi dia (Colleen) sangat tinggi. Dia hanya perlu fokus,” kata Rashid, mengakui tanggungjawab besar yang dipikul atlet berkenaan bagi mengharumkan nama negara.