Oleh Malaysia Good News | Gambar @TunDrMahathir

SATU momen yang indah kala Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menzahirkan penghargaan kepada isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali kerana sentiasa berada di sisinya, selama 63 tahun, semasa susah dan senang.

Beliau, ketika berucap pada majlis ‘My Voice My Nation 2019’ di Bukit Jalil, semalam berkongsi rasa terhadap pengorbanan isterinya itu selama ini, sambil menyifatkan dirinya sebagai seorang yang cukup bertuah.

“Dikatakan, di sebalik kejayaan seorang lelaki adanya seorang wanita. Saya tidak pasti apakah saya berjaya kerana pekerjaan saya yang sehingga hari ini, masih bekerja dan dihakimi sepanjang masa.

“Apa pun, saya bertuah kerana ada Hasmah bersama saya sepanjang 63 tahun ini, tidak kira (semasa) naik atau jatuh,” katanya, sambil mengakui tidak tahu bagaimana wanita itu boleh bertahan dengannya sepanjang masa itu.

Beliau yang bersara pada 2003 selepas memimpin negara selama 22 tahun, kembali untuk mencatat sejarah politik Malaysia apabila dilantik Perdana Menteri buat kali kedua pada 2018 ekoran kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, membuat audiens tersenyum apabila berkata:

“Beliau (Dr Siti Hasmah) seorang doktor. Tentunya ia bonus, terutamanya pada usia sekarang, saya mempunyai seorang doktor di sisi saya sepanjang masa.”

Dr Mahathir, anak jati Kedah, bakal meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-94 pada 10 Julai ini. Beliau mengahwini Dr Siti Hasmah pada 1956. Pasangan ini dikurniakan lima anak, selain mempunyai dua anak angkat.

Pada ucapan sama, beliau juga mengimbau kesukaran kehidupan yang dilaluinya semasa kecil, termasuk peluang terhad terutama untuk anak-anak Melayu sepertinya untuk melanjutkan pelajaran di universiti.

Kata Ahli Parlimen Langkawi ini: “Ketika saya membesar, tidak ramai orang Melayu boleh melanjutkan pelajaran di universiti. Hanya keturunan raja atau bangsawan mampu berbuat demikian. Ada yang menghantar anak mereka ke England.

“Saya bertuah kerana diberikan biasiswa untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Singapura.”

Gemar menulis, menggunakan nama timangan Che Det dalam banyak penulisannya, beliau mengakui profesi sebagai doktor juga banyak mempengaruhi caranya membuat keputusan selama menjadi ahli politik dan Perdana Menteri.