Oleh Malaysia Good News

MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) memperuntukkan sejumlah RM56 juta, tahun ini, bagi tujuan latihan dan pembangunan kompetensi tenaga kerjanya dalam usaha memastikan tahap profesionalisme mereka, terutama golongan pendidik sentiasa berada di tahap terbaik.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata antara inisiatif yang bakal dilaksanakan ialah dengan memberi galakan kepada warga pendidiknya untuk melanjutkan pengajian di universiti.

Inisiatif juga, menurutnya disusun supaya silibus di institut pendidikan MARA sentiasa relevan dan setaraf pendidikan di negara maju.

“Ini langkah penting dalam memastikan pelajar-pelajar di bawah MARA kelak tidak akan menghadapi apa-apa isu sekiranya mereka ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di luar negara,” katanya, memetik ucapannya pada Majlis Sambutan Hari Pendidik 2019 di Kuala Lumpur, baru ini.

MARA, sehingga kini telah menerima peruntukkan pendidikan berjumlah lebih RM2 bilion bagi membangunkan pelbagai inisiatif pendidikannya.

Rina berkata, buat masa ini lebih daripada 400 warga pendidik MARA sedang mengikuti pengajian di peringkat PhD, sarjana, ijazah dan professional, selain kursus-kursus peningkatan kompetensi, baik di dalam mahu pun luar negara.

Dalam ucapan sama, beliau melahirkan harapan supaya inisiatif berkenaan dapat melahirkan anak-anak murid yang berpendidikan tinggi, bukan saja daripada segi akademik malah mempunyai sahsiah diri yang murni.

“Dengan peruntukan yang telah ditetapkan oleh Mara ini, saya ingin melihat usaha ini bukan sekadar untuk meningkatkan kemahiran dan profesionalisme semata,” katanya pada majlis yang menyaksikan mantan Timbalan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azmi Mohamad yang pernah menjadi guru selama 36 tahun dianugerahi Tokoh Pendidik MARA 2019.