Oleh Malaysia Good News

VIDEO pertama pendidikan seks untuk kanak-kanak yang dilancarkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui saluran YouTube, semalam, disasarkan untuk tontonan 150,000 kanak-kanak, tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismai, berkata pelancaran itu membabitkan lima video yang dikeluarkan serentak, dalam bentuk iklan, dipautkan dengan video-video popular yang menjadi pilihan kanak-kanak seperti Upin Ipin dan Sesame Street.

Jelasnya, video itu yang boleh ditonton sebelum kanak-kanak menonton video pilihan mereka adalah pendekatan kreatif bagi memastikan mesej dapat disampaikan secara lebih meluas, melangkaui kumpulan sasar kementerian.

Ia, adalah pendekatan pertama seumpamanya digunakan kementerian itu, di mana beliau merupakan Menterinya.

“Kanak-kanak perlu tahu dan diajar apa itu safe touch (sentuhan selamat) dan bad touch (sentuhan tidak selamat), seawal mungkin,” katanya, memetik kenyataan media pada majlis pelancaran video di Putrajaya, semalam. “Kami mensasarkan video ini ditonton 150,000 kanak-kanak.”

Video berdurasi satu minit, setiap siri itu diadakan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysians Against Pornography, selain Google selaku pengendali YouTube, memaparkan senario berbeza, disasarkan terutama bagi kanak-kanak yang berusia tujuh tahun ke bawah.

Turut hadir di majlis berkenaan, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Dr Wan Azizah berkata, video yang memuatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai perkara asas ini, terutama dalam mengenal pasti jenis sentuhan, selari matlamat kementerian bagi mengurangi kes jenayah seksual kanak-kanak di Malaysia.

“Ia perkara asas yang perlu diketahui kanak-kanak bagi mengelak menjadi mangsa dan membantu mereka mengenal pasti tingkah laku mencurigakan yang sepatutnya dilaporkan,” katanya, merujuk Talian Kasih 15999 dan Talian Kecemasan 999 yang disediakan bagi membantu ibu bapa dan masyarakat membuat laporan.

“Sebagai contoh, banyak kes (jenayah seksual) membabitkan kanak-kanak ini adalah dengan seseorang yang mereka kenali. Mungkin, hari demi hari jadi tidak elok. Jadi, kanak-kanak mesti tahu tanda dan apa hendak dibuat.”