Oleh Malaysia Good News | Gambar www.tourism.gov.my

TOURISM Malaysia memperkenalkan pakej bufet durian, termasuk penginapan semalam di hotel pilihan dengan Pulau Pinang mengorak langkah pertama dalam strategi untuk menarik kehadiran pelancong yang menggilai raja buah itu.

Timbalan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, berkata pakej bufet durian bersama penginapan yang ditawarkan adalah RM186 seorang, atau serendah RM66 bagi rakyat Malaysia yang tidak mahu menginap di hotel.

Pakej, katanya yang diadakan dengan kerjasama kebun di Teluk Bahang itu berlangsung sehingga 6 Ogos ini.

Strategi itu, menurutnya dijangka mendapat sambutan memandangkan sudah ada pelancong terutama dari Hong Kong dan China yang mulai bertumpu ke Pulau Pinang semata-mata kerana tarikan terhadap pakej unik itu.

Jelasnya, pakej seumpamanya bukan saja menguntungkan pengusaha durian gred Musang King dan Black Thorn yang menjadi buruan pelancong, malah platform bagi memperkenalkan durian kampung yang juga ada tarikannya.

“Jangan terlalu obsess dengan dua klon popular ini (Musang King dan Black Thorn). Ada banyak jenis durian yang boleh didapatkan di Pulau Pinang,” katanya, sambil menamakan klon durian klasik yang diperkenalkan bufet itu termasuk Udang Merah, D11 dan D14.

Memetik kenyataannya kepada media, Muhammad Bakhtiar, berkata tumpuan diberikan kepada pelancong bebas.

“Ini kerana, pelancong bebas boleh mengatur jadual penerbangan sendiri berbanding pelancong berkumpulan. Dan apabila mereka sampai di hotel, sudah ada pengangkutan disediakan untuk bawa mereka ke kebun durian,” katanya.

Pakej bufet durian ini juga mendapat sokongan syarikat penerbangan tambang rendah, Air Asia yang membolehkan penumpangnya yang ke Pulau Pinang mendapatkan potongan 10 peratus daripada harga yang disenaraikan dengan menunjukkan pas masuk pesawat, selain peluang menyertai cabutan bertuah dengan hadiah tiket penerbangan dari Pulau Mutiara itu ke Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Melaka.