Oleh Malaysia Good News

DATUK Dr Wan Azizah Wan Ismail kekal sebagai Timbalan Perdana Menteri, buat masa ini, di tengah teka-teki mengenai kedudukan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bakal Perdana Menteri.

Anwar, menerusi paparan di Facebooknya, semalam, memaklumkan mengenai pertemuan singkatnya dengan Dr Mahathir di Putrajaya, antara lain berbincang mengenai tiada perubahan bagi jawatan TPM mahu pun kabinet.

Beliau juga bersetuju dengan pandangan Dr Mahathir bahawa pertukaran TPM dan kabinet sebagai tidak perlu.

“Dalam pertemuan itu, saya menyatakan persetujuan terhadap pendirian beliau (Dr Mahathir) untuk memberi tumpuan kepada program pembangunan negara dan tidak memerlukan pertukaran Timbalan Perdana Menteri dan kabinet,” katanya.

Pertemuan singkat itu diadakan sejurus sebelum Perdana Menteri berlepas ke Bangkok bagi menghadiri lawatan kerja empat hari di Thailand, mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Asean ke-34 yang turut disertai sembilan lagi ketua kerajaan.

Dr Mahathir yang tiba di ibu negara Gajah Putih itu bersama isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, lewat petang semalam turut diiringi Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darrel Leiking.

Pada pertemuan sama, Anwar berkata, mereka berdua turut berbincang mengenai skandal video lucah yang dikaitkan dengan Azmin, sejak minggu lalu di mana beliau mengulangi pendirian PKR yang menolak budaya politik jijik dan keji.

@anwaribrahim.keadilan

“Kami berdua turut membincangkan isu video lucah, di mana saya mengulangi pendirian bahawa Keadilan menolak budaya politik jijik dan keji, serta turut melahirkan rasa simpati terhadap Azmin Ali dan keluarganya,” katanya.

Anwar, menerusi paparan berikutnya, yakin adanya unsur politik dalam isu berkenaan.

“Membincangkan lebih lanjut, saya menegaskan wujudnya unsur politik terkait isu ini, maka adalah tidak wajar untuk memfitnah sesiapa yang menyebarkannya tanpa asas,” tambahnya, seraya menjelaskan beberapa isu semasa lain turut disentuh di dalam pertemuan itu.

Kontroversi berhubung penyebaran video dua lelaki melakukan hubungan intim itu meledak susulan pengakuan Ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz bahawa dia adalah salah seorang individu terbabit, manakala Azmin dinamakan sebagai pasangannya.