Oleh Malaysia Good News

BANGKOK, sehingga Ahad ini, menjadi pentas Malaysia bagi mempromosi menu jalanan autentiknya dengan lebih 60 hidangan diperkenalkan sepanjang berlangsungnya jelajah empat hari Malaysia Street Food Lover 2019.

Promosi yang disertai 24 usawahan makanan Malaysia yang perlu menyediakan dan menghidangkan pelbagai menu jalanan Malaysia di  kompleks beli-belah Central World itu diadakan bersempena Malaysia Fest 2019.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Sallehuddin Hassan, berkata Malaysia Street Food Lover 2019 adalah satu inisiatif  kementeriannya bagi menggalak kalangan usahawan mengembangkan pasaran segmen makanan mereka.

“Ini kerana, hidangan unik Malaysia menyamai deria rasa negara-negara jiran Asiannya yang cenderung pada rasa pedas, masam manis ini berpotensi diterima oleh rakyat Thailand,“ katanya, memetik kenyataannya yang dikeluarkan, semalam.

“Malaysia Street Food Festival akan memperlihatkan keunikan dan kepelbagaian hidangan Malaysia, sekaligus menjadi simbol budaya dan warisan negara. Ini adalah platform pemasaran bagi usahawan makanan memperkenalkan hidangan Malaysia ke peringkat antarabangsa.”

Nasi lemak, asam pedas dan roti canai, selain hinava daripada Sabah dan laksa Sarawak serta otak-otak daun nipah adalah antara menu jalanan Malaysia wajib dicuba yang boleh dinikmati sepanjang promosi ini, tidak termasuk kuih muih tradisional seperti seri muka dan koci.

Bangkok sebagai destinasi pertama promosi dilihat menepati matlamat memandangkan ibu kota Thailand itu sendiri merupakan syurga makanan jalanan terkenal dunia. Selepas Bangkok, jelajah Malaysia Street Food Lover 2019 ini akan dibawa ke selatan Thailand, di Central Festival Hatyai, Songkhla bermula 27 sehingga 30 Jun ini.