Oleh Malaysia Good News

Air Asia X sedang mempertimbangkan rancangan untuk memasuki semula pasaran Eropah dalam usaha menebarkan sayap jenamanya.

Pengerusi Air Asia X Bhd, Tan Sri Rafidah Aziz, berkata keputusan akan dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor, antaranya membabitkan kos minyak.

Ia, katanya adalah antara cabaran yang perlu difikirkan membabitkan kos operasi secara keseluruhan, selain kesannya dalam mempengaruhi jangkaan pulangan.

“Kita mesti lihat bagaimanakah gambarannya secara keseluruhan, apakah ia mampu berdepan cabaran seperti perubahan dalam harga minyak, pelbagai cukai yang dikenakan di lapangan terbang Eropah dan bermacam lagi.

“Misalnya, pesawat yang diguna bagi penerbangan ke London dan Paris, sebelum ini bukanlah pesawat yang sepatutnya. Faktor kos yang membunuh kita daripada pasaran itu.

“Jadi, kita perlu bersikap realistik dalam membuat keputusan bagi kepentingan untuk jangka masa panjang,” katanya kepada media di acara Pertunjukkan Udara Antarabangsa Paris yang ke-53.

Pada majlis itu, turut diperkenalkan ialah pesawat A330neo yang bakal digunakan syarikat penerbangan tambang rendah ini.

Rafidah berkata, pesawat baru itu yang menggunakan enjin lebih efisyen dijangka membolehkan syarikat itu lebih fleksibel dalam menyusun strategi dan memberi pulangan lebih baik kepada pemegang sahamnya.

@AirAsia