Oleh Malaysia Good News

PEMANDU teksi dan perkhidmatan e-hailing digesa merebut peluang mendaftar dan mencarum di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) susulan kelonggaran bagi kadar caruman yang ditetapkan adalah serendah RM13.10 sebulan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar, berkata caruman itu dibuka menerusi Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri kepada kira-kira 100,000 pemandu teksi dan perkhidmatan e-hailing di seluruh negara.

Kadar caruman itu, menurutnya adalah antara empat opsyen yang disediakan, mengikut anggaran pendapatan bulanan seseorang dengan kadar paling rendah ialah sebanyak RM157.20 sehingga RM592 setahun.

Katanya, walaupun jumlah pencarum setakat ini menunjukkan peningkatan iaitu kira-kira 13,000 orang sejak skim berkenaan diperkenalkan pada 1 Jun 2017, angka itu masih rendah berbanding jumlah pemandu sedia ada.

“Saya percaya kadar caruman mampu dibayar kerana hanya RM13.10 sebulan, iaitu selepas dilonggarkan syarat daripada setahun. Manfaatnya besar, sama seperti pencarum kategori lain,” katanya memetik kenyataannya kepada media selepas majlis penutup Program Seranta dan Penyampaian Faedah Perkeso di Wisma Perkeso Kedah di Alor Setar, semalam.

“Rugilah jika mereka tidak ambil peluang ini,” katanya, sambil menekankan antara faedah bakal diperolehi ialah daripada segi perubatan, hilang upaya kekal atau sementara, elaun layanan sentiasa, orang tanggungan, pemulihan, pinjaman pendidikan dan pengurusan jenazah.

fb @MahfuzOmarDMO

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, berkata sehubungan itu, Perkeso akan menggiatkan kempen kesedaran bagi memastikan pemandu teksi dan perkhidmatan e-hailing benar-benar memahami kepentingan skim berkenaan, seterusnya didorong untuk mencarum.

Beliau juga membuat gesaan sama terhadap pemandu bas sekolah dan kilang persendirian yang layak.

“Tahun lepas ada beberapa pertemuan diadakan, tetapi alasan diberi ialah mereka tidak mampu. Saya fikir itu bukan alasannya kerana caruman dikenakan adalah murah, selain telah dilonggarkan pembayaran secara bulanan, bukan lagi tahunan.

“Saya juga harap pemandu bas sekolah dan kilang persendirian ambil maklum kerana skim ini turut ditawarkan kepada golongan ini, mulai tahun ini. Jangan beri alasan tak mampu bayar selepas Perkeso longgarkan syarat kepada caruman bulanan,” katanya.

Jelas Mahfuz, kelonggaran caruman itu adalah tanda keprihatinan kerajaan selain sebagai mengiktiraf golongan yang bekerja sendiri untuk diberi perlindungan, sekaligus berharap  mereka memanfaatkan peluang ini, bukan saja untuk diri sendiri tetapi juga tanggungan.