Oleh Malaysia Good News

SELANGOR menyaksikan aliran pelaburan tempatan dan luar negara tertinggi dalam sejarah negeri yang berjumlah RM18.947 bilion bagi tahun 2018, menurut Menteri Besarnya, Amirudin Shari.

Jumlah berkenaan, sebagaimana diumumkannya adalah membabitkan peningkatan pelaburan sebanyak 238 peratus. Ia, katanya mengatasi jumlah pelaburan yang diraih pada tahun sebelumnya, iaitu sebanyak RM5.592 bilion.

Kutipan hasil kerajaan negeri juga, menurutnya menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak RM1.214 bilion sehingga 7 Jun, tahun ini berbanding RM1.067 bilion dalam tempoh sama, tahun lalu.

“Peningkatan jumlah pelaburan sebanyak 238 peratus itu adalah yang tertinggi dalam sejarah negeri, selain kutipan hasil negeri yang mencatat kenaikan sebanyak 13.79 peratus.

“Ini, sekaligus menunjukkan negeri ini berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran yang ditetapkan dalam Belanjawan 2019,” katanya ketika berucap di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri peringkat Selangor di Bulatan Bazarena, Seksyen 13 di Shah Alam, kelmarin.

Turut berkenan berangkat hadir pada majlis itu ialah Sultan Selangor, Sultan Sarafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Baginda diiringi Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga bekas Menteri Besar Selangor, selain barisan Exco Kerajaan Negeri.

Gambar: @amirudinbinshari

Mengulas titah Sultan Selangor, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri akan memastikan kebajikan rakyat dibela dan dijadikan keutamaan, sesuai dengan mandat yang diberikan rakyat pada pilihan raya ke-14 lalu kepada pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

“Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menterjemah mandat tersebut kepada sistem politik berasaskan nilai, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya, seraya berazam membendung amalan politik fitnah dan mengadu domba yang boleh menjejaskan kemuafakatan dan keharmonian di negeri ini.