Oleh Malaysia Good News | Gambar www.mpib.gov.my

Kerajaan Negeri Johor bakal memanfaatkan hampir 1,000 hektar tanah terbiar milik agensi kerajaan dengan projek tanaman nanas MD2 dan belimbing.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar, Tosrin Jarvanthi, berkata usaha itu akan dilaksanakan melalui Projek Revolusi Hijau Pembangunan Tanah-tanah Terbiar Negeri Johor.

Jelasnya, cadangan yang mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor itu akan dilaksanakan, antaranya di tanah-tanah milik agensi seperti Felda, Lembaga Tabung Haji dan Felcra.

“Ini pendekatan terbaharu kerana tanah terbiar di bawah agensi kerajaan seperti Felda, Felcra, Kejora, Risda cukup banyak.

“Dianggarkan ada hampir 1,000 hektar tanah terbiar milik agensi-agensi ini termasuk Lembaga Tabung Haji,” katanya, memetik kenyataanya kepada media.

Tosrin berkata, sebuah tanah rancangan Felda akan ditentukan kemudian sebagai projek perintis yang dijangka dilancarkan, lima bulan lagi.

Sehubungan itu, kertas cadangan penubuhan jawatankuasa pelaksanaan projek itu akan dikemukakan kepada Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Johor, minggu depan.

“Projek utama ini ialah kita menggerakkan tanaman nanas MD2 di bawah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia.Belimbing pula dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), selain lada hitam sebagai tanaman selingan menerusi usahasama dengan Lembaga Lada Malaysia,” tambahnya.