Oleh Malaysia Good News

fb @PaulPogba

Bintang Manchester United, Paul Pogba sentiasa bertanya kepada dirinya mengenai banyak perkara sebelum akhirnya kembali kepada ajaran Islam.

Jelas pemain berusia 26 tahun ini, Islam adalah segalanya.

“Ia telah mengubah saya,” katanya, dalam temubualnya bersama Times, selepas menjalani ibadah Umrah, Ramadan lalu. Ia bagaimanapun bukan kunjungan pertamanya yang pernah ke Tanah Suci seawal 2016, diikuti tahun berikutnya bersama pemain, Romelo Lukaku.

Sambil menyifatkan dirinya kini lebih berpijak di bumi yang nyata, Islam juga jelasnya: “Saya fikir, mungkin, membuatkan dalaman saya lebih tenang.”

Biarpun ibunya beragama Islam, Pogba mengakui dia tidak dibesarkan sebagai seorang Muslim.

Melalui masa sukar, dia memutuskan untuk mendalami Islam selepas membuat kajian selain didorong beberapa temannya yang mengamalkan ajaran itu.

“Satu perubahan yang baik dalam hidup kerana saya tidak dilahirkan sebagai Muslim walaupun ibu begitu (seorang Muslim). Saya hanya membesar begitu, menghormati semua orang,” katanya.

Dalam temubual sama, beliau juga menegaskan bahawa Islam yang sering dikaitkan dengan keganasan tidak seperti yang digambarkan.

“Islam bukan gambaran seperti yang orang lihat – pengganas. Apa yang kita dengar di media adalah sesuatu yang berbeza. Islam adalah sesuatu yang indah.

“Anda perlu tahu itu. Semua orang boleh cari satu perasaan yang berhubung dengan Islam,” tambahnya.

Pogba mengakui, kekuatannya hadir bersama solat lima waktu.

“Saya pernah solat sekali bersama kawan-kawan dan timbul rasa berbeza. Saya rasa sangat baik.

“Sejak itu, saya teruskan saja. Anda perlu solat lima kali sehari, itu salah satu kewajiban dalam Islam,” katanya.