Oleh Malaysia Good News | Gambar www.grab.com/my

Varifikasi selfie sebagai syarat mandatori bagi menggunakan khidmat e-hailing, Grab akan berkuatkuasa mulai 12 Julai ini.

Penetapan itu, menurut pengumuman di aplikasinya, dibuat bagi menyediakan platform lebih selamat untuk kedua-dua pemandu dan penumpangnya.

Syarat mandatori selfie itu perlu dibuat hanya sekali bagi membolehkan pengguna mendapatkan khidmat Grab pada masa akan datang.

“Kami telah memperkenalkan varifikasi penumpang melalui pengambilan selfie sebagai sebahagian daripada usaha pihak kami untuk menyediakan platform lebih selamat buat anda dan rakan pemandu kami.

“Selfie itu adalah bagi pengesahan pengenalan diri penumpang, juga keselamatan dan boleh diguna bagi membantu pihak berkuasa jika diperlukan,” menurut kenytaan itu.

Bagi mengelak berlakunya pemalsuan identiti, pengguna Grab juga mungkin akan diminta berkongsi selfie lagi apabila perlu.

Langkah terbaru diambil Grab ini adalah sebahagian daripada teknologi pengecaman wajah yang digunakan bagi membantu polis menyelesaikan kes pembunuhan membabitkan seorang pemandunya, Mei lalu.