Oleh Malaysia Good News

Gambar : premierleague.com

SEMANGAT tidak mudah mengalah Liverpool FC yang baru dinobatkan juara Liga Juara-Juara Eropah (UCL – UEFA Champions League) bagi musim 2018-2019 meraih perhatian Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulkifli Mohamad.

Sambil menyifatkan kemenangan itu sebagai sumber inspirasi, beliau menyentuh mengenai kecemerlangan yang diperlihatkan dua pemain Muslim Liverpool, Mohamed Salah dan Sadio Mane walaupun dilaporkan berpuasa.

Beliau, menerusi paparan di Qalam Mufti #39: Sebuah Penantian Berakhir: Liverpool Juara semalam, turut menukilkan laporan sebuah akhbar Arab bagaimana jurulatih Liverpool, Jurgen Klopp bukan saja tidak menghalang dua pemain itu berpuasa, malah memberi galakan.

Liverpool menjulang piala  Juara UCL 2019 selepas menewaskan Tottenham Hotspurs dengan jaringan 2-0, sekaligus menamatkan kemarau 14 tahun di pentas Eropah. Gol kemenangan diberikan Mohamed Salah dan Divock Ogi, menamatkan tahun 2019 dengan cemerlang.

Sekaligus, katanya menjadi pengajaran untuk diselami pada Ramadan ini mengenai di sebalik kemenangan Liverpool itu.

Gambar : fifa.com

“Liverpool berjaya menggilap bakat pemain Muslim seperti Mohamed Salah dan Sadio Mane hingga menjadi pemain handalan dunia dan contoh ikutan karekter yang baik untuk peminat dan penyokong,” katanya melalui perkongsian di Facebook.

“Menariknya, kami membaca berita dari akhbar Arab, Uqaz beberapa hari sebelum perlawanan, dinukilkan bahawa jurulatih Liverpool, Jurgen Klopp tidak menghalang Mohamed Salah dan Sadio Mane untuk melakukan ibadat puasa, sebaliknya memberi galakan kerana hak kebebasan beragama. Permainan tetap cemerlang

“Semangat tidak mudah mengalah dan segera memperbaiki pasukan walaupun baru tewas di tangan Real Madrid, tahun sebelumya menjadikan ianya satu bentuk sumber inspirasi kepada kita semua. Walaupun tidak berjaya menjuarai Liga Perdana Inggeris, musim ini mereka tidak terus mengalah dan kecewa, malah terus lebih kuat bersemangat.”

Datuk Seri Zulkifli Mohamad @drzulkiflialbakri

Klopp, seorang Kristian Protestan, dalam satu laporan media ketika mengulas mengenai Mohamed Salah dan Saido Mane yang berpuasa, dipetik berkata, “Saya menghormati agama mereka, mereka sentiasa hebat dan memberi yang terbaik sama ada ketika puasa atau tidak.”

Seraya mengakui ada harinya, dua pemain itu tiba lambat di bilik persalinan kerana menunaikan solat, beliau tidak marah kerana berpandangan: “Dalam hidup ini, ada banyak perkara yang lebih penting daripada bola sepak.”

Mohamed Salah atau nama sebenarnya, Mohamed Salah Hamed Mahrous Ghaly adalah pemain asal Mesir. Dilahirkan di Nagrig, di mana 65 peratus penduduknya miskin, personaliti sukan berusia 26 tahun ini disenaraikan majalah Time sebagai antara 100 orang paling berpengaruh 2019.

Pemain tengah Liverpool, Sadio Mane, 26, pula dilahirkan di Senegal. Dia juga merupakan Kapten bagi pasukan bola sepak kebangsaan negaranya.

Zulkifli, ketika menyenaraikan antara keterujaan dan pengajaran yang didapati daripada Liverpool ini, turut menyebut mengenai kekuatan mental Klopp dalam menguruskan pasukan bola sepak itu dalam perlawanan bagi merebut kejuaraan berprestij ini.

“Kesabaran dan ketabahan serta kekuatan mental bertahan pengurus pasukan, Jurgen Klopp yang akhirnya mendapatkan trofi UCL, pertama kali dalam karier bola sepaknya dan trofi pertama bersama Liverpool selepas enam kali hanya bergelar Naib Juara di pentas akhir.

“Penantian panjang para penyokong Liverpool FC akhirnya terbalas jua selepas kali terakhir merangkul piala tersebut pada musim 2005,” katanya, jelas ikut berkongsi kegembiraan mengenai kejayaan pasukan pilihannya itu.

Sambil mengucapkan tahniah dan syabas kepada pasukan Liverpool serta penyokongnya, beliau juga menitipkan pesan kepada penyokong Tottenham Horspur, “Kami katakan sabarlah kerana itu adat permainan. Mungkin satu masa nanti anda pula akan menjadi juara. Semoga terus maju jaya.

“Begitu juga majulah sukan untuk negara kita Malaysia.”