Oleh Malaysia Good News

BIASISWA yang ditawarkan Kerajaan Malaysia untuk pelajar Palestin adalah hasil sumbangan pihak swasta kepada tabung Palestin yang kini mencecah RM11.48 juta, kata Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Dana yang terkumpul itu, menurutnya dimanfaatkan bagi tujuan pendidikan sebagai inisiatif supaya generasi muda Palestin berupaya membangunkan semula tanahair mereka apabila negara yang sedang bergolak itu aman, kelak.

Beliau berkata, biasiswa itu akan ditawarkan menerusi  Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) bagi membantu pelajar Palestin mendapatkan pengetahuan dalam pelbagai bidang, antaranya kejuruteraan dan perubatan.

“Banyak pihak swasta menyalurkan sumbangan kepada tabung Palestin dan dana itu kita jadikan tabung biasiswa untuk anak-anak Palestin supaya apabila mereka tamat pengajian, mereka dapat memajukan negara mereka apabila aman semula,” katanya, memetik kenyataannya kepada media selepas Program Sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada kakitangan kerajaan dan golongan asnaf di Kulim, semalam.


Gambar: @saifuddin.nasution

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah PCOM menafikan dakwaan kononnya dana berkenaan diambil daripada kerajaan.

“Dana ini bukan daripada dana kerajaan. Ia adalah sumbangan yang dikumpul dan dijadikan biasiswa. Setakat ini, kita telah kutip lebih RM11 juta,” katanya, mengulas kritikan susulan pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai penawaran biasiswa kepada pelajar Palestin bagi meneruskan pengajian di peringkat sarjana muda, sarjana dan PhD di 12 universiti di negara ini.

Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, menegaskan bantuan yang diberikan Kerajaan Malaysia, terutama pelarian yang mendapatkan perlindungan di negara ini dibuat tanpa menepikan kebajikan rakyat sendiri.

“Walaupun kita bantu golongan pelarian Palestin, Syria dan yang beragama Islam lain, kita sama sekali tidak mengabaikan golongan asnaf di negara kita dengan pelbagai program serta sumbangan telah pun diberikan kepada mereka,” katanya.