Oleh Malaysia Good News | Gambar fb @Salahuddin.Bin.Ayub

SEBANYAK 398 pasar tani dibuka selama lima hari, sehingga Selasa ini sempena program Jualan Jimat Belanja Aidilfitri @ Pasar Tani bagi membolehkan umat Islam, khususnya mendapatkan bekalan bagi persiapan Aidilfitri.

Ia merupakan lebih separuh daripada 757 pasar tani yang beroperasi di seluruh negara, sekarang ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, berkata program itu dianjurkan kerajaan menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).

Penganjuran itu, menurutnya antara lain adalah untuk memastikan pengguna tidak berdepan masalah mendapatkan bekalan barangan segar.

“Program jualan khas pasar tani ini juga selaras dengan hasrat kerajaan dalam menangani kenaikan harga barangan keperluan di pasaran, terutama menjelang musim perayaan,” katanya, memetik kenyataannya kepada media selepas melancarkan program berkenaan di Pasar Tani di Larkin, Johor Bahru, semalam.

Setakat ini, jelasnya belum ada aduan diterima mengenai masalah berhubung bekalan barangan keperluan.

Beliau berkata, harga yang lebih rendah berbanding pasaran setempat dengan penjimatan antara lima hingga 20 peratus meletak pasar tani  sebagai antara saluran yang diiktiraf dapat mensejahterakan ekonomi rakyat.

Tahun ini saja, kata Salahuddin, bagi tempoh antara Januari hingga April lalu, sebanyak 757 pasar tani di seluruh negara yang beroperasi membabitkan 31,125 peserta telah merekodkan jualan sebanyak RM308.7 juta.

Pada masa sama, beliau berharap pengguna tidak panik untuk mendapatkan bekalan barangan segar yang dijamin mencukupi menjelang sambutan Hari Raya, Rabu ini.