Oleh Malaysia Good News | Gambar fb @DrAhmadSamsuri

JAMBATAN angkat atau drawbridge pertama Asia Tenggara yang dibina di Kuala Terengganu yang akan dibuka untuk percubaan, Ahad ini dijangka memanfaatkan industri pelancongan Terengganu.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata pihaknya menjangkakan kehadiran pelancong ke Terengganu akan meningkat sehingga 20 peratus, sekaligus membawa limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat.

Beliau berkata,jambatan sejauh 638 meter itu yang menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus akan dibuka oleh Kerajaan Negeri sehingga 17 Jun ini bagi membolehkan sistem operasinya diuji.

Jambatan yang menjadi tumpuan orang ramai itu, katanya pasti meraih sambutan luar biasa apabila ia dibuka sepenuhnya kelak dengan tempias manfaat dinikmati kawasan sekitar, termasuk Seberang Takir dan Gong Badak.

“Kami sedang pertimbangkan sekarang ini untuk mewujudkan kawasan-kawasan yang menarik seperti gerai yang bukan saja menceriakan kawasan pesisir pantai berdekatan, malah turut mempromosi produk tempatan,” katanya, memetik laporan Bernama.

Pembinaan jambatan bernilai RM248 juta yang memiliki dua menara setinggi 16 tingkat itu diinspirasi daripada jambatan angkat terkenal dunia, London Tower Bridge di London, United Kingdom (UK).

Ini adalah jambatan keempat yang menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus. Ia merupakan sebahagian daripada projek pembangunan Kuala Terengganu City Centre, sebuah projek pembangunan bandar bersepadu yang menggabungkan ciri-ciri unik warisan Terengganu.

Sambil menyeru rakyat untuk lebih kreatif dn inovatif dlaam memajukan industri pelancongan negeri, Ahmad Samsuri berpandangan perlu ada inisiatif bagi menarik golongan muda menceburi industri tradisional Terengganu.

Ini katanya, termasuk membabitkan pemberian dana tabung usahawan, antaranya menerusi Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu dalam usaha membantu rakyat menceburi bidang perniagaan dan penyediaan perkhidmatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Pantai Timur (ECERDC), Baidzawi Che Mat, pula berkata sebanyak 80 peratus daripada kira-kira 250 pekerja yang terbabit dengan projek itu membabitkan tenaga kerja tempatan.

Katanya, mereka termasuk penyelia, pengurus dan pekerja pembinaan.